Polis sedang menyiasat penyelaras Mandiri, Hamdin Nordin mengikut Akta Hasutan berhubung satu hantaran media sosial mengenai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.

Menurut kumpulan itu, Hamdin turut disekat daripada meninggalkan negara pagi tadi.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata, Hamdin juga dimaklumkan bahawa polis sedang menyiasat penglibatannya dalam perhimpunan Himpunan Gempur Rasuah Sabah 1.0 pada 31 Disember 2024.

Amir berkata, Hamdin tidak pernah menerima notis mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah atau dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung perhimpunan yang berlangsung hampir dua tahun lalu itu.

Menurutnya, Mandiri difahamkan bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan polis Sabah berkuat kuasa sejak 16 Oktober lalu. Bagaimanapun, Hamdin hanya mengetahui sekatan itu apabila tiba di pintu pelepasan antarabangsa sehingga menyebabkan dia terlepas penerbangan.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban berkata, dia tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai sekatan terhadap Hamdin.

Amir turut menggesa kerajaan supaya berhenti menggunakan Akta Hasutan terhadap aktivis.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain berulang kali menyatakan bahawa undang-undang itu hanya akan digunakan dalam kes membabitkan kaum, agama dan institusi diraja.

“Mereka sendiri pernah berkempen menentang Akta Hasutan malah memasukkan janji untuk memansuhkan undang-undang zalim ini dalam manifesto mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mandiri menuntut polis menjelaskan alasan sekatan perjalanan itu dan menggesa supaya sekatan tanpa notis awal dihentikan.

“Kebebasan bergerak adalah hak asasi manusia,” katanya.

Pada Sept lalu, Amir dan Pengarah Kewangan Mandiri, Dobby Chew turut disekat daripada meninggalkan negara.

Akaun bank peribadi mereka serta akaun milik Mandiri dan kumpulan hak asasi Hayat turut dibekukan.