Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda Umno tahun ini tidak sama seperti persidangan pergerakan itu tahun lalu kerana terdapat perubahan paling jelas iaitu tiadanya acara perarakan keris Panca Warisan.

Malaysiakini mendapati, perubahan tersebut bagaimanapun tidak diumumkan oleh urusetia atau kepimpinan Pemuda sebelum ucapan perasmian daripada ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

Ini bermakna, acara perarakan keris tersebut dan dihunuskan, yang dilakukan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika menjadi ketua Pemuda Umno tahun lalu, adalah kali yang terakhir yang dilakukan.

Upacara mengarak dan menghunus keris tersebut yang sebelum ini telah menimbul rasa tidak senang di kalangan masyarakat bukan Melayu, termasuk dari kalangan parti-parti komponen BN sendiri.

Bagaimanapun acara-acara biasa diteruskan seperti bacaan doa dan ayat-ayat suci al-Quran, nyanyian lagu kebangsaan, lagu Umno dan lagu rasmi Pemuda - Ikrar Pemuda - menggamatkan Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sebelum Khairy menyampaikan ucapan perasmian beliau, Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Megat Fairuz Megat Junid menjelaskan kehadiran perwakilan Pemuda ke mesyuarat ini adalah seramai 795 orang.

Kata Megat Fairuz, sepatutnya perwakilan Pemuda adalah sebanyak 800 orang, bagiamanapun, lima perwakilan tidak dapat hadir.

Beliau menjelaskan keahlian Pemuda di seluruh negara sekarang ini adalah lebih 687,000 yang membabitkan 12,501 cawangan.

Menurutnya, Sabah mempunyai jumlah cawangan terbanyak, iaitu 2,301 cawangan.

Megat Fairuz juga menjelaskan ini merupakan ucapan dasar sulung sebagai ketua Pemuda Umno dan selepas mendapat suntikan baru ekoran kemenangan Umno dan BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang minggu lalu.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan Pemuda, Megat Fairuz juga menjelaskan kepada perwakilan bahawa pergerakan itu akan terus berusaha memantapkannya.

Katanya, Pemuda berusaha untuk mengumpul semula pemidato daripada Umno dan komponen BN untuk menangkis dan berhujah dengan pembangkang.

ADS