Istana Negeri Sembilan hari ini menjelaskan bahawa peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali berkata, di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, sebarang peletakan jawatan oleh menteri besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail Lasim, Menteri Besar Negeri Sembilan

“Istana Negeri Sembilan mengambil maklum akan kenyataan Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional berhubung peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai menteri besar Negeri Sembilan.

“Kenyataan tersebut dimuat naik di media sosial pada pukul 10.00 malam, 16 November, dan kelihatan berdasarkan salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam milikan beliau.

“Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada pukul 12.16 pagi, 17 November. Surat itu diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq,” katanya.

Azizi berkata, pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut Zambry telah ditandatangani oleh Ismail.

Katanya, pada jam 8.38 malam, semalam, Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menyampaikan kepada Ismail melalui aplikasi WhatsApp perkenan daripada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menghadap seperti yang dipohon oleh menteri besar itu.

Jelas Azizi, perkara itu telah diakui terima oleh Ismail dan acara menghadap telah ditetapkan pada pukul 10 pagi Jumaat ini.

“Perkenan untuk menghadap tersebut telah diberikan 80 minit lebih awal sebelum siaran oleh Zambry di akaun facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan itu,” katanya lagi.

Ismail, yang sudah tujuh penggal menjadi Adun Negeri Sembilan, dilantik sebagai menteri besar ke-10 negeri itu pada 2 Ogos lalu selepas gabungan BN-PN memenangi pilihan raya negeri (PRN).

Adun Juasseh berusia 67 tahun itu dipilih sebagai menteri besar ketika krisis adat dan perlembagaan negeri tercetus.