Anwar jawab gembar-gembur Kerajaan Madani goyah
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran kerajaan kekal stabil dan memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan dasar serta tanggungjawab terhadap rakyat, bukannya melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet.
Beliau berkata tiada keperluan mendesak untuk merombak barisan Jemaah Menteri ketika ini, walaupun timbul pelbagai pandangan susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.
“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif,” kata Perdana Menteri di Manila, hari ini.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 Nov di bawah kepengerusian Filipina, yang bertemakan Navigating Our Future, Together.
Menyentuh mengenai peletakan jawatan Loke, Anwar berkata beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, meskipun sebelum ini telah memintanya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.
“Beliau (Loke) atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan.
“Dalam sistem kerajaan campuran di beberapa negara, ini bukan satu keanehan. Bila ada coalition, kadang-kadang pada peringkat Persekutuan berbeza dengan peringkat negeri,” kata beliau.
Pada 10 Nov, Loke mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah bermula pada hari berkenaan.
Perdana Menteri berkata ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk melalui pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama dengan pemimpin parti serta anggota pentadbiran, bagi menangani sebarang perbezaan pandangan.
Pada masa sama, Anwar menepis dakwaan yang cuba memperbesar-besarkan kononnya berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan, sambil menyifatkannya sekadar agenda kempen politik pihak tertentu.
“Apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah semata-mata agenda berkempen. Namun buat masa ini, kekal pada landasan, teruskan bekerja. Apa yang penting, kita berikan yang terbaik untuk negara ini,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/55647fb2bbcdcd0e10b2bbd1b1f8cbbe.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.