Ketika namanya menjadi perhatian ramai sejak menjelang tengah malam tadi, Ismail Lasim kelihatan enggan memberikan sebarang pencerahan terkait kedudukannya sebagai menteri besar.

Sebaliknya Ismail memilih untuk tidak bertemu dengan media.

Bahkan Adun Juasseh itu membayangkan yang dia mahu bersendiri tanpa sebarang liputan untuk seketika.

“Terima kasih. Tak usah cari saya untuk beberapa hari ini,” kata Ismail kepada media hari ini.

Sebelum itu, Ismail memberitahu tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan dikeluarkan terkait perkembangan semasa yang melatari Negeri Sembilan sekarang.

Malam tadi Ismail dilaporkan meletak jawatan dengan tarikh kuat kuasanya hari ini.

Ia dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir.

Kata Zambry, Pengerusi Umno dan BN, Ahmad Zahid Hamidi, sudah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tambah Zambry, Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan nama calon baru kepada Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Zambry berkata, BN berharap langkah itu membuka lembaran baru untuk memulihkan kestabilan politik dan melancarkan semula pentadbiran negeri.