Pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Datuk Badaruddin Amiruldin tidak putus-putus mencuit hati perwakilan sewaktu berlangsungnya persidangan khas untuk meminda perlembagaan Umno di PWTC hari ini.
Selepas pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membentangkan usul pindaan perlembagaan tersebut, ketua Umno bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad bangun untuk mencadangkan usul tersebut disokong.
Bagaimanapun, Badaruddin tidak perasaan Shahrir sedang berdiri di rostrum untuk menyokongnnya.
Selepas dimaklumkan mengenai kehadiran Shahrir itu, Badruddin secara berseloroh berkata:
“Saya tak nampak sebab bajunya (Shahrir yang berwarna merah hati) sama dengan warna dengan dinding”.
Kenyataannya menyebabkan para perwakilan ketawa terbahak-bahak.
Selepas itu, ketika ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshe bangun untuk menyokongnya, sekali lagi Badruddin mencuit hati perwakilan apabila berkata:
“Sila perkenalkan nama dan nyatakan datang dari dunia mana...”
Syed Ali pula menjawab: “ Saya Syed Ali Alhabshe datang dari dunia Cheras”.
Semasa proses pindaan berjalan dengan laju kerana perwakilan terus menerus menyatakan bersetuju pada hampir kesemua cadangan pindaan diusulkan, Badruddin berkata: “Kalau macam ini, cepatlah boleh makan...”.
