Laporan: Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan tugas MB seperti biasa
Kedudukan Ismail Lasim selaku menteri besar masih belum terjawab meskipun selepas dia menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di Seremban.
Laporan NST hari ini menyebut berdasarkan hasil pertemuan semalam, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri besar seperti biasa.
Menurut akhbar itu, perkembangan berkenaan memberi gambaran kedudukan Ismail sebagai menteri besar masih belum berubah dan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan perlu diteruskan seperti biasa.
Malah hingga pagi tadi belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak istana mengesahkan keputusan hasil pertemuan antara Ismail dengan Tuanku Muhriz, semalam.
Laporan Bernama semalam menyebut, sesi menghadap itu difahamkan bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.
Ismail, 67, yang juga Adun Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai menteri besar Negeri Sembilan, pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, Malaysiakini semalam melaporkan di sebalik pengumuman bahawa Ismail sudah melepaskan jawatannya, ada sumber lain mendakwa Adun Juasseh itu sebenarnya tidak berbuat demikian.
Malah, dakwa sumber terbabit, Ismail tidak menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana.
"Setakat ini, perkara itu (peletakan jawatan) tidak berlaku.
“Beliau tidak meletak jawatan atau menyerahkan sebarang surat (peletakan jawatan) kepada pihak istana," dakwa individu tersebut yang enggan namanya didedahkan.
Lewat petang Isnin lalu, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Ismail. Menurut Zambry, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan menteri besar itu yang bertarikh 16 Nov dan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ismail atas khidmat yang diberikan sebelum ini, Zambry berkata Ahmad Zahid yang juga merupakan timbalan perdana menteri akan mengemukakan calon bagi jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pagi semalam Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pihak istana masih belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan tersebut.
Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/n9b12_268897.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.