Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pemberian tahanan rumah kepada Najib Razak telah dinyahklasifikasikan dan mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu bersetuju memberikan tahanan rumah kepada Najib meskipun mendapat bantahan.

Malaysiakini menerima minit mesyuarat itu daripada sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan perkara berkenaan.

Malaysiakini turut difahamkan bahawa dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah, susulan cabaran undang-undang oleh Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah itu.

Bagaimanapun, semakan setakat pagi ini mendapati dokumen berkenaan masih belum difailkan di mahkamah.

Malaysiakini telah menghubungi Peguam Negara Dusuki Mokhtar, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh, Pejabat Perdana Menteri, Majlis Peguam dan peguamnya, serta peguam Najib untuk mendapatkan komen.

Menurut minit mesyuarat itu, Dusuki berkata tiada asas undang-undang untuk membenarkan tahanan rumah.

Dia turut berkata pemberian tahanan rumah akan membawa implikasi besar kepada kerajaan dari segi kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Dia menegaskan bahawa Najib, yang dirujuk sebagai banduan dalam minit mesyuarat itu, perlu menjalani hukuman penjara sepenuhnya.

Yeoh kemudian berkata dia mempunyai pandangan yang sama, selain mengulangi pendirian yang pernah dinyatakannya sebelum ini berhubung perkara itu.

Anggota lembaga lain turut menyuarakan kebimbangan terhadap pemberian tahanan rumah kepada Najib. Meskipun terdapat bantahan, Agong akhirnya memutuskan untuk meneruskan pemberian tahanan rumah dengan syarat bayaran RM50 juta dibuat.

Lembaga itu kemudian meneliti draf prosedur operasi standard (SOP) bagi tahanan rumah. Agong memutuskan untuk membuat dua pindaan, antaranya menukar perkataan “isteri” kepada “isteri-isteri” bagi merujuk kepada individu yang dibenarkan tinggal bersama Najib sepanjang menjalani tahanan rumah.

Pindaan kedua ialah menggugurkan satu klausa yang membolehkan Najib menganjurkan atau menyertai acara sekiranya mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Penjara.

Yeoh dan Dusuki tidak memberikan pandangan mengenai SOP berkenaan kerana mereka menentang perintah tahanan rumah itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai keputusan pengampunan palsu yang tular di media sosial, Yeoh mencadangkan supaya individu lain selain dirinya menandatangani keputusan lembaga itu pada hari berkenaan, seperti Ketua Setiausaha Negara.

Sekali lagi, dia memberikan alasan bahawa perkara itu boleh membawa kesan politik yang besar kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Agong menegaskan bahawa Ketua Setiausaha Negara bukan anggota Lembaga Pengampunan dan mengarahkan Yeoh menjalankan tanggungjawabnya serta menurunkan tandatangan pada perintah pengampunan bersyarat itu.

Minit mesyuarat penuh adalah seperti berikut: