Ismail Lasim hadir bertugas di pejabat SUKNS hari ini
Menteri Besar Ismail Lasim hari ini dilihat menjalankan tugas seperti biasa dengan menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), di Seremban.
Ismail berkata perjumpaan itu diadakan bersama Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia baharu, Akhmal Abu Basar yang menggantikan Zairil Azwan Zulmuji yang berpindah ke Kementerian Pendidikan.
“Selamat menjalankan amanah kepada Akhmal. Semoga dapat memperkukuh pengurusan sumber manusia dan kecemerlangan perkhidmatan awam negeri.
“Terima kasih juga kepada Zairil Azwan atas perkhidmatan serta selamat maju jaya di tempat baharu,” katanya menerusi hantaran di media sosial, pagi ini.
Lewat petang Isnin lalu, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Ismail.
Menurut Zambry, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan menteri besar itu yang bertarikh 16 Nov dan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, Malaysiakini semalam melaporkan di sebalik pengumuman bahawa Ismail, 67, sudah melepaskan jawatannya, ada sumber lain mendakwa Adun Juasseh itu sebenarnya tidak berbuat demikian.
Malah, dakwa sumber terbabit, Ismail tidak menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana.
Semalam, Bernama melaporkan menyebut menteri besar itu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di Seremban. Sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.
Beberapa media hari ini menyebut berdasarkan hasil pertemuan semalam, Tuanku Muhriz dipercayai menitahkan Ismail supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri besar seperti biasa.
Semalam, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu selepas, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Ini sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/IsmailLasim1_924924.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.