Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan disarankan supaya mewujudkan majlis permuafakatan NGO untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada mereka memberi pandangan dan berhubung terus dengan pucuk pimpinan.

Ketika membuat saranan tersebut, wakil Pemuda Umno, Muhammad Suffian Awang berkata NGO memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Malah, katanya, NGO menjadi mata dan telinga kerajaan dan oleh itu mereka harus didekati dan dijadikan rakan kongsi untuk mencapai matlamat ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Berucap menyokong usul ucapan presiden di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini terdapat ribuan NGO yang didaftar dan aktif di negara ini.

Gerakan mereka, tambahnya, membabitkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk peguam, doktor, masyarakat kampung, persatuan ibu bapa dan guru, pencinta alam dan sebagainya.

"Ini menunjukkan NGO mewakili sebahagian besar masyarakat dan suara mereka wajib diberi perhatian dalam memastikan tercapainya moto ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Secara tidak langsung, katanya, dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan sepertimana langkah kerajaan menubuhkan majlis perundingan beliau yang memastikan suara belia didengar.

"Ia dilihat telah berjaya menyelesaikan masalah dan memberi ruang kepada persatuan belia untuk menyampaikan hasrat persatuan mereka kepada kerajaan," katanya.

Muhammad Suffian berkata, kerajaan juga terlepas pandang generasi muda yang tidak termasuk dalam NGO tetapi aktif dalam persatuan masing-masing.

Katanya, kerajaan harus mendekati dan memberi pengiktirafan kepada semua golongan di atas supaya mereka dapat menyokong dasar-dasar kerajaan.

Beliau juga mengingatkan tentang pentingnya ledakan teknologi dalam bentuk media baru yang memberi lebih banyak maklumat tanpa disaring kepada generasi muda di negara ini.

"Mereka tidak lagi tertumpu kepada media perdana lagi. Kalau baca akhbar pun lebih kepada hiburan dan sukan.

"Manakala sebaran maklumat mengenai dasar dan usaha kerajaan yang menguntungkan kerajaan, di luar pengetahuan mereka," katanya.

Telefon bibit, katanya merupakan alat terpenting kepada generasi muda masakini yang menjadikannya sebagai alat perhubungan untuk mendapatkan berita dan infomasi terkini.

Berikutan itu, beliau menyarankan agar kerajaan memanfaatkan perkembangan terkini itu dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan maklumat terus kepadsa generasi muda, termasuk melalui SMS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS