Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan ketujuh-tujuh ilmuwan Islam yang tidak diberikan tauliah, seperti yang dibangkitkan di DUN Selangor semalam, disebabkan mereka menganut aliran Wahabi.

Ketua penolong pengarah Bahagian Dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad berkata, permohonan mereka ditolak kerana "tidak mengikut prosedur mengisi borang".

"Borang yang diisi mesti disokong oleh ketua jabatan sekiranya berkerja kerajaan atau penghulu. Kita beritahu siapa yang boleh beri sokongan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"(Permohonan mereka) ini penyokongnya adalah (ADUN Hulu Kelang) YB Saari Sungib. (Cara) itu tidak mengikut peraturan.

"Kalau pekerja swasta, bosnya yang kena tandatangan, supaya kita boleh rujuk dengan ketua jabatan sekiranya berlaku apa-apa."

Wakil rakyat PAS itu mendedahkan nama tujuh penceramah agama, termasuk pensyarah kanan di universiti tempatan, tidak diberikan tauliah dalam satu surat Jais pada 19 Ogos lalu. [Baca juga Jais tolak 7 penceramah Wahabi? ]

Ahmad Zaki juga menjelaskan, setiap calon yang ingin memohon tauliah mesti menjawab 20 soalan bertulis yang telah disediakan oleh jabatan itu untuk semua pemohon.

Beliau, yang turut terlibat dalam temuduga ketujuh-tujuh ilmuwan agama itu, menjelaskan satu contoh soalan tersebut, berhubung perdebatan isu bid'ah dalam Islam.

"Mereka kata bid'ah itu mempunyai satu bahagian iaitu apa yang tidak buat oleh Nabi Muhammad SAW," katanya.

"Tetapi mengikut uruf (kebiasaan) masyarakat di Malaysia yang membahagi bid'ah itu kepada dua iaitu bid'ah hasanah (baik) dan bid'ah dholalah (sesat)."

Bid'ah adalah sesuatu amalan agama yang baru timbul dalam masyarakat yang tidak pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad sehingga ia sering menjadi pertikaian hangat di kalangan ulama – sama ada boleh diterima atau ditolak.

Menurut Ahmad Zaki lagi, pada kebiasaannya pentauliahan itu diberikan sekiranya calon lulus proses temuduga dan mendapat surat pentauliahan sementara.

Surat tersebut diberikan selepas dua minggu menjalani ujian tersebut, tambahnya.

"Selepas itu kita akan panjangkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (untuk saringan keselamatan) sebelum di bawa ke mesyuarat jawatan tauliah di bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais)," katanya.

Dihubungi lewat petang ini, Saari berkata beliau hanya memberikan surat sokongan kepada ketujuh-tujuh penceramah agama itu tahun lepas dan Mei lalu selepas mereka datang bertemunya.

Dalam tindakan susulannya Julai lalu, tambahnya, Jais memaklumkan ia telah menerima permohonan tersebut.

"Saya buat (surat sokongan) ini atas kapasiti seseorang yang mesra ulama, mesra ilmu," katanya.

"Saya berikanlah surat sokongan. Ada seorang atau dua (daripada tujuh penceramah itu) yang mohon empat atau lima kali tetapi ditolak.

"Saya rasa simpati. Atas dasar itu, saya beri surat sokongan."

Saari berhasrat membangkitkan isu ini dalam persidangan DUN Selangor minggu depan.

ADS