Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Karpal sebut tindakan terhadap Sultan Perak
Diterbitkan:  Dec 11, 2009 3:46 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Peguam Karpal Singh dalam sidang akhbarnya ada menyebut bahawa tindakan mahkamah akan diambil terhadap Sultan Perak dan kerajaan baru, sekiranya majlis mengangkat sumpah Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak diteruskan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Pemberita Malaysiakini , Lee Way Loon bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada tindakan mahkamah itu diambil oleh Karpal sendiri ataupun pakatan pembangkang.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Melissa Mohd Akhir, mengapa beliau keliru tentang perkara itu, Lee berkata, Karpal yang juga pengerusi DAP, merupakan seorang pemimpin pakatan pembangkang.

Lee, 25, yang bertugas kira-kira setahun di bahagian Mandarin Malaysiakini berkata, selain membuat catatan, beliau juga merakam keseluruhan sidang akhbar itu termasuk sesi soal-jawab.

Saksi kelapan pendakwaan itu memberitahu demikian dalam perbicaraan Karpal, 69, yang didakwa membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Perak dalam sidang akhbar di pejabatnya di Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di Kuala Lumpur antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.

Lee berkata beliau turut mengemukakan beberapa soalan dalam sidang akhbar tersebut tetapi tidak ingat apa soalannya dan catatan yang dibuat pada hari itu juga tiada lagi dalam simpanannya.

Selain isu Perak, Lee berkata Karpal juga ada menyebut tentang isu "lompat parti" di mana peguam veteran itu tidak setuju dengan pandangan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong tindakan wakil rakyat yang berhasrat keluar parti untuk menyertai parti lain.

Sebelum itu, saksi pendakwaan ketujuh, jurukamera TV3 Mohd Jufri Mohd Judin memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak membuat rakaman keseluruhan sidang akhbar itu sebaliknya hanya membuat rakaman setengah jam sahaja.

Ketika disoal balas oleh peguam Jagdeep Singh Deo, Mohd Jufri, 32, setuju bahawa beliau tidak pasti saiz pita yang digunakan walaupun beliau pasti bentuk pita yang digunakan.

Jagdeep: Kamu kata mempunyai pengalaman hampir 14 tahun dalam bidang ini, kalau tak ingat saiz, bagaimana kamu hendak pastikan pita yang digunakan pada hari itu?

Mohd Jufri: Boleh ingat berdasarkan saiz.

Jagdeep: Ada tak kamu membuat sebarang catatan ataupun tandaan pada pita untuk mengenal pasti?

Mohd Jufri: Tidak

Jagdeep: Ada tak kamu ingat sidang media pada hari itu, tentang isu apa?

Mohd Jufri:

Seingat saya, Karpal hendak saman Sultan Perak.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah disambung Isnin ini - BERNAMA.

ADS