Mat Sabu: Macam mana pejuang Melayu boleh bela perasuah, pengkhianat?
Mohamad Sabu menegaskan perjuangan mempertahankan bangsa tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi pemimpin yang melakukan rasuah dan penyelewengan.
Presiden Amanah itu juga mengingatkan orang Melayu supaya berpegang teguh kepada prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang.
Dia yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kecintaan terhadap bangsa sendiri tidak seharusnya menyebabkan seseorang mempertahankan pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat, termasuk mereka yang terlibat dalam penyelewengan wang dan harta negara.
“Sebagai anak Melayu, saya berbangga dengan bangsa saya Melayu. Itu fitrah. Namun rasa bangga itu ada garis sempadannya.
“Mana mungkin untuk kita berbangga dengan pemimpin rasuah yang menyeleweng duit rakyat hingga berbilion-bilion,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk Istiqamah Menggempur Asabiyah pada Konvensyen Amanah di Shah Alam, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata adalah sesuatu yang mengaibkan apabila individu berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat menyokong perbuatan rasuah serta penyelewengan harta negara hanya kerana faktor bangsa.
Bagi menyokong hujahnya, dia memetik hadis Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa keadilan tidak boleh memilih kedudukan termasuk jika ia melibatkan zuriat baginda.
Menurutnya, negara perlu dipulihkan daripada kesan penyelewengan dan pengkhianatan pemimpin yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada khazanah negara.
Cari kemenangan untuk sapu harta
Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu mengambil contoh skandal 1MDB yang masih membebankan rakyat serta negara dengan tanggungan melebihi RM50 bilion.
“Bayangkan wang RM50 bilion dapat digunakan untuk membina sekolah, hospital, masjid dan menyediakan kehidupan yang lebih selesa untuk rakyat,” katanya.
Di sebalik pembongkaran dan kes-kes mahkamah yang berlangsung, skandal 1MDB yang turut menarik perhatian sedunia itu memang terus memberi kesan kepada kewangan kerajaan.
Pada Okt lalu, kerajaan memaklumkan keseluruhan obligasi kewangan berkaitan 1MDB belum selesai.
Kerajaan suda membayar RM42.5 bilion, berbanding dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion yang diperoleh semula.
Baki beban kewangan bersih yang masih perlu ditanggung kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada lagi pemulihan aset atau dana.
/file/attachments/orphans/asabia4_315451.jpeg)
Mohamad turut membangkitkan isu Lembaga Tabung Haji (TH) yang berdepan jurang antara aset dan liabiliti sehingga RM10.9 bilion pada penghujung 2018 sehingga mendorong kerajaan PH mengambil langkah menyelamatkan institusi itu bagi melindungi kepentingan jutaan pendeposit Islam.
Namun, kata Mohamad, ada pula pihak yang cuba mempertahankan penyelewengan dan rasuah dengan berselindung di sebalik seruan penyatuan bangsa dan agama.
Katanya pihak terbabit memainkan sentimen kebencian terhadap kaum lain, selain mencaci dan memfitnah dengan mendakwa Melayu serta Islam sedang terancam.
“Apakah ini penyatuan bangsa yang kita impikan? Ini bukan penyatuan bangsa!
“Ini hanya jalan untuk memenangi sokongan untuk mendapat kuasa dan meneruskan agenda memperkayakan kelompok mereka dengan menyapu harta negara,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan penyatuan bangsa yang sebenar perlu berteraskan amanah, keadilan dan kepentingan rakyat, bukannya untuk menutup penyelewengan atau melindungi pelaku rasuah.
Katanya, bahaya asabiyah berlaku apabila kesetiaan kepada sesuatu kelompok mengatasi kesetiaan kepada kebenaran sehingga kesalahan pemimpin sendiri dipertahankan demi menjaga nama kumpulan.
“Sebab itulah menggempur asabiyah mesti bermula dengan keberanian menegakkan ukuran yang sama terhadap semua, termasuk diri dan kepimpinan kita sendiri.
“Prinsip ini mesti dipertahankan, jangan kerana mengejar kuasa, prinsip agama kita tinggalkan,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan slogan penyatuan Melayu yang disifatkannya palsu, sebaliknya menilai sesuatu perjuangan berdasarkan kejujuran serta akhlak pemimpinnya.
Katanya, kecintaan terhadap bangsa perlu diterjemahkan melalui usaha membina ilmu, memperkukuh ekonomi dan memelihara maruah, manakala kemuliaan bangsa hanya dapat diangkat apabila pemimpinnya menolak rasuah dan institusi ditadbir dengan amanah.
Justeru Mohamad mengajak orang Melayu bersatu atas dasar kebenaran dan keadilan bersama seluruh rakyat bagi membina Malaysia yang makmur dan dihormati.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/asabia3_528072.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.