Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengantin maut selepas empat jam akad nikah
Diterbitkan:  Dec 11, 2009 5:49 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Seorang pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat orang yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan

pertembungan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar- Padang Besar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.

Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.

Katanya, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat Kangar sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.

Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zull Aznam berkata kereta yang dipandu Abdul Kadir, seorang pesara pembantu makmal SM Sains Tuanku Syed Putra, dipercayai pancit tayarnya, menyebabkan kenderaan yang sedang menghala arah Beseri itu tidak dapat dikawal, lalu bertembung dengan bas persiaran yang membawa pelancong dari Selangor itu.

"Kami masih menyiasat punca kejadian. Pemandu bas itu juga telah direkodkan kenyataannya," katanya semasa ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri ratusan sanak saudara mangsa, manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.

Kerja-kerja gotong royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23, dibatalkan.

Setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin, yang merupakan jiran kepada mangsa berkata kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit dan majlis kenduri perkahwinan Mohd Ariff dijadualkan Ahad ini. BERNAMA

ADS