Pemuda MIC sokong Umno ganti Tsu Koon

       

kemaskini 7.13pm Pemuda MIC Pulau Pinang hari ini menyokong cadangan Umno agar pengerusi BN di negeri itu diambil alih oleh Umno, bukan lagi di tangan Gerakan, dalam usaha merampasnya daripada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun rakan sejawatannya daripada MCA negeri tidak bersetuju dengan hasrat pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden parti itu, untuk berbuat demikian.

Ketua Pemuda MIC negeri J Dhinagaran berkata selepas kejatuhan BN di negeri itu kepada Pakatan Rakyat tahun lalu, Umno dilihat sudah mula turun padang untuk memulihkan sokongan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas akar umbi di Pulau Pinang, kebanyakannya mahu Umno mengetuai BN di negeri itu.

"Kita sokong Gerakan, tapi sekarang rasa tidak selesa sebab selepas kekalahan pilihan raya umum lalu, mereka tidak turun padang.

"Umno sudah turun padang untuk menarik sokongan rakyat," kata Dhinagaran.

Beliau diminta mengulas perebutan antara Umno dan Gerakan berhubung jawatan tersebut, yang kini disandang oleh Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri yang juga presiden Gerakan – parti yang menerajuinya selama lebih 35 tahun.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Dhinagaran bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada Pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

Dhinagaran juga mencadangkan, sekiranya Najib mahu mengekalkan Koh, sekurang-kurang jawatan ketua Pemuda BN negeri – yang kini dipegang ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong – diserahkan kepada ketua Pemuda Umno, Norman Zahalan.

"Ia bertujuan supaya lebih adil," katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu, semua komponen BN - Gerakan, MIC dan MCA - tewas semua kerusi yang mereka tandingi.

Umno pula memenangi 13 kerusi termasuk dua kerusi parlimen di Pulau Pinang daripada 40 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen.

Manakala ketua Pemuda MCA negeri Eng Hiap Boon pula membantah cadangan pengambilalihan jawatan tersebut kepada pemimpin Umno.

"Kalau kita setuju, nanti sokongan kaum Cina di Pulau Pinang akan lari (daripada BN).

"Yang paling penting, kita kena tengok situasi. Situasi di sini tidak sama," katanya kepada Malaysiakini .

"Ketua menteri daripada DAP, seorang pemimpin Cina. Jadi secara tradisinya, jawatan tersebut untuk orang Cina. Kalau Umno menjadi pengerusi BN, nanti ketua menterinya dari kalangan orang Melayu.

"Begitu cara fikir orang Cina di sini."

Beliau yakin jika pengerusi BN masih di tangan pemimpin yang mewakili Cina, maka BN mampu menarik sokongan semula kaum itu dalam usaha merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Koh berkata parti itu menghormati nasihat Datuk Seri Najib Razak supaya perbincangan terbuka mengenai isu tersebut wajar dihentikan.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Koh berkata perdana menteri juga sudah memberi nasihat kepada semua pihak yang terlibat mengenai perkara itu.

Terdahulu, di Putrajaya, Najib berkata beliau tidak mahu parti komponen BN terus berdebat mengenai permintaan Umno Pulau Pinang agar jawatan itu diberikan kepada parti tersebut.

Malaysiakini
terkini untuk anda