Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak yang diputuskan Lembaga Pengampunan sebagai mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya langkah itu diambil bagi memastikan hak Najib Razak terpelihara susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan pembebasannya.

AGC berkata, persoalan timbul selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu sebaik Najib selesai membayar denda RM50 juta.

Perintah dalam bahasa Inggeri itu menyatakan:

“And whereas the said fine amounting to RM 50,000,000 has now been paid into this Court: This is to authorise you to discharge the said Dato’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak […] forthwith".

Pada masa yang sama, perintah tersebut turut menyatakan bahawa Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Katanya, perkara ini memberi dua implikasi terhadap hukuman Najib dan ia tidak sewajarnya diputuskan melalui sebelah pihak.

Menurut kenyataan itu, sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, maka tidak timbul persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman tersebut selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

"Sebaliknya, sekiranya hukuman SRC International telah selesai dari segi undang-undang, maka perlu ditentukan kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB.

"Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak," kata AGC dalam kenyataan hari ini.

Semalam AGC menagguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib selepas terdapat dua tafsiran mengenai perintah pengampunan yang mensyaratkan Najib membayar denda RM50 juta sebelum menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara.

Bagaimanapun, menurut tafssiran kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.

AGC berkata satu lagi persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Najib bagi kes 1MDB.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri boleh menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah seri paduka baginda.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan istana negara, seri paduka baginda menegaskan bahawa kuasa memberikan pengampunan merupakan prerogatif diraja seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang," kata kenyataan itu.

Sementara itu, AGC turut menolak gambaran bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan seri paduka baginda.

Katanya, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara yang berbeza.

"Mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.

"Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan bahawa Peguam Negara telah mengambil alih prerogatif pengampunan seri paduka baginda," kata kenyataan itu lagi.