Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'Allah' berkaitan fahaman pluralisme agama
Diterbitkan:  Jan 8, 2010 1:39 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

NONE Mimbar (masjid ini) mengakui bahawa terdapat kalimah Allah di dalam Bible yang diterjemah ke bahasa Arab.

Kalimah ini wujud kerana sesetengah Kristian Arab seperti di Lubnan, Mesir dan negara-negara lain yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah.

Ia berbeza sama sekali dengan konsep tritunggal (iaitu tiga tuhan dalam satu) seperti mana pegangan doktrin kebanyakan penganut Kristian pada hari ini.

Oleh itu, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di sebalik penggunaan lafaz Allah yang diperjuangkan oleh pihak tertentu.

Jika kita melihat dengan teliti isu ini, ternyata terdapat perkaitan kuat dengan isu pluralisme iaitu konsep perjuangan semua agama adalah sama. Malah segelintir umat Islam menyokong perjuangan ini yang menubuhkan fahaman Islam liberal.

Para pendakyah Islam liberal berusaha kuat untuk memperlekehkan dan melonggarkan nama-nama khas Islam atau istilah-istilah yang menjadi tunjang kekuatan Islam agar akidah umat Islam mudah goyah dan rapuh.

Selain itu, dalam usaha mengelirukan umat Islam, mereka menterjemahkan kitab Bible sebagai al-Kitab, al-Quran diterjemahkan sebagai Bacaan dan mencipta Qur’an baru Furqaanul Haq yang diterbitkan di Amerika Syarikat.

Semuanya ini adalah agenda pendakyah-pendakyah dalam usaha mengelirukan dan melupuskan akidah umat Islam di dunia.

Islam agama yang suci mempunyai piawaian hukum-hakam atau peraturan tertentu dalam menjaga kesucian nama Allah dan kitab sucinya.

Orang Islam sendiri pun tertakluk kepada piawaian penjagaan kesucian nama Allah dan al-Quran. Kita amat bimbang pihak lain menyalahgunakan kalimah suci itu.

Kita pernah mendengar dan membaca dalam laporan media cetak dan media elektronik bagaimana pihak–pihak tertentu memijak-mijak al-Quran, helaian al-Quran dimasukkan dalam lubang tandas, helaian al-Quran menjadi kertas pembungkus, dan nama-nama Allah ditulis di alas-alas selipar dan kasut serta dipijak-pijak.

Mimbar amat bimbang jika pihak–pihak terlibat menyalahgunakan penggunaan lafaz Allah dan mengambil kesempatan menghina agama lain, maka dikhuatiri akan menimbulkan pertikaian agama dan mengancam keselamatan negara.

Bagi mewujudkan suasana aman dan kehidupan harmoni yang telah wujud di negara ini, maka mimbar menyeru umat Islam dan rakyat di negara ini supaya mengelak daripada menimbulkan isu-isu sensitif dan kemarahan sesuatu agama dan kaum.

Apatah lagi, penggunaan lafaz Allah telah beratus-ratus tahun digunakan oleh masyarakat Islam akar umbi di negara ini.

Dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, umat Islam hendaklah berpendirian selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-82 yang telah bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

Kandungan keputusan itu yang berbunyi: "Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan."  

Sehubungan itu, mimbar ingin menasihatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini agar dapat bertenang berhubung perkara ini dan memberi peluang perkara ini diselesaikan melalui proses perundangan.

Sidang jemaah (di masjid ini) dan umat Islam harus sedar bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja penggunaan lafaz Allah, mungkin selepas ini akan timbul banyak lagi cabaran yang berniat mengugat kekuatan dan kesucian Islam di negara ini.

Dalam usaha menghadapi cabaran yang menggugat akidah ini, maka mimbar menyeru umat Islam agar mendalami dan memperkuatkan akidah dalam keluarga sendiri agar dapat mengenal pasti siapakah Allah dan sifat-sifat sebenar Allah Yang Maha Esa.

Oleh itu para penegak Islam dan ibu bapa perlu lebih peka, lebih prihatin dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid dan akidah kepada anak-anak dan masyarakat Islam agar tidak terjebak dengan dakyah sesat dalam pemahaman tentang Allah.

Sedutan teks khutbah Jumaat bertajuk 'Akidah benteng kekuatan ummah' yang disediakan untuk disampaikan di Masjid Negara hari ini. Teks penuh boleh diperolehi di laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) .

Ulasan-ulasan lain seperti berikut:

'Kami guna 'Allah' ratusan tahun, kenapa halang?' (8 Jan)

Allah inti akidah, kenapa Katholik mahu gugat? (7 Jan)

Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian (6 Jan)

Lebih sensitif daripada isu kartun Nabi (6 Jan)

Rancangan jahat tangguk di air keruh (6 Jan)

ADS