Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat tidak layan tuntutan royalti minyak K'tan
Diterbitkan:  Jan 12, 2010 11:28 AM
Dikemaskini: 8:53 AM

Kerajaan pusat tidak bercadang membuat kajian atau melayan tuntutan baru kerajaan Kelantan untuk mendapatkan royalti

minyak kononnya hasil itu diperoleh dari kawasan sempadan negeri itu dengan Terengganu kerana tuntutan itu dianggap tidak berasaskan kenyataan.

parliament pc jeyakumar and mustapha 171208 04 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata tindakan kerajaan negeri mengemukakan tuntutan itu hanya merupakan satu usaha PAS mencipta isu baru bagi mengubah pandangan rakyat setelah gagal dalam tuntutan awalnya.

Mustapa, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa semalam bahawa kerajaan Kelantan telah mengemukakan tuntutan royalti minyak yang baru melibatkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Menurut Husam, tuntutan itu melibatkan sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Dalam kenyataannya di Kota Bharu, Mustapa berkata tindakan kerajaan negeri Kelantan itu bertujuan meraih simpati rakyat untuk menyokong perjuangan PAS dalam tuntutan itu.

Kerajaan pusat telah menolak tuntutan royalti oleh kerajaan Kelantan dengan alasan minyak yang diperoleh adalah di luar kawasan perairan negeri itu. Bagaimanapun, kerajaan pusat menawarkan wang ehsan bagi membantu rakyat negeri itu.

Mustapa berkata kerajaan pusat sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan wang ehsan yang akan diberikan itu dapat diagihkan kepada rakyat dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, tindakan kerajaan dalam menangani isu itu menunjukkan kerajaan BN tidak zalim dalam memenuhi kepentingan rakyat dan ini selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan program "Juara Rakyat".

Mustapa juga berkata badan perhubungan Umno Kelantan akan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan gerakan penerangan kepada rakyat berhubung isu-isu semasa yang berlaku dalam negara.

Beliau berkata sebelum ini Umno tidak begitu menekankan gerakan penerangan dalam kalangan rakyat menyebabkan mereka mudah terkeliru dengan isu dan dakyah yang ditaburkan oleh pembangkang.

Mengenai pergolakan dalaman yang berlaku dalam Umno bahagian Rantau Panjang, Mustapa berkata, isu itu sudah diselesaikan apabila kedua-dua pihak terbabit bersemuka dan bersetuju untuk berdamai demi perpaduan dalam parti itu.

- Bernama

ADS