'Kami hanya berdebat dengan Guan Eng'

       

Pemuda Umno Pulau Pinang dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan negeri itu  (DPMMPP) hanya mahu berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung isu dakwaan peminggiran orang Melayu-Islam di negeri itu.

“Kalau (berdebat) dengan Lim Guan Eng, boleh... kalau (dengan) Pemuda Pakatan Rakyat, tak payahlah,” kata Ketua Pemuda negeri, Norman Zahalan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zahalan menyifatkan Pemuda Pakatan sebagai “kuda tunggangan Guan Eng”.

Norman mengulas cabaran ADUN Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin untuk berdebat dengan Pemuda Umno negeri, DPMMPP dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berhubung isu berkenaan.

Beliau juga mengesahkan telah menerima surat cabaran debat tersebut dari Pemuda Pakatan melalui faks pagi ini.

Setiausaha kehormat DPMMPP, Mazri Mahmood  mengesahkan menerima surat yang sama manakala Pengerusi GPMS negeri, Nurul Huda Ghazali pula berkata beliau dimaklumkan mengenainya melalui panggilan telefon.

Dalam surat tersebut, Pemuda Pakatan mencabar mereka untuk menyertai Debat Perdana Rakyat pada 7 Mac depan di tapak ekspo Seberang Jaya.

Minggu lalu, Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berdepan dengan kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak antaranya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berhubung isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul yang bakal disambut oleh umat Islam pada Jumaat ini.

Guan Eng dilaporkan berkata perarakan sebut tidak dibatalkan dan mendakwa terdapat "segelintir orang yang cuba untuk menimbulkan sentiman perkauman dengan secara salah mentafsirkan perkara tersebut".

Awal bulan ini juga, Guan turut dikecam oleh aktivis Islam dari pelbagai NGO yang mengadakan demonstrasi di sebuah masjid kerana membantah layanan kerajaan negeri terhadap orang Melayu-Islam Pulau Pinang.

Mereka juga dilaporkan membakar patung Guan Eng sebagai tanda kemarahan dan ketidakpuasan hati mereka.

Mengulas lanjut, Norman berkata susulan surat yang diterimanya itu, beliau akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat pengurusan Umno negeri petang ini.

Bagaimanapun pendirian yang sama juga akan dinyatakan kepada kepimpinan negeri berhubung isu tersebut, katanya.

Sementara ini, DPMMPP pula akan berbincang dengan 15 ahli jawatankuasanya berhubung cabaran Pemuda Pakatan itu jam 6 petang ini

Katanya sebelum ini, YDP dewan tersebut Rizal Faris Mohideen Abdul Kader telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanya bersedia untuk berdebat dengan Guan Eng.

"Kita nak berdebat dengan Lim Guan Eng bukannya dengan Pemuda Pakatan. Asas kami yang itu," kata Mazri.

Manakala Nurul Huda berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa GPMS negeri Rabu atau Khamis ini berhubung cabaran Pemuda Pakatan itu. 

Malaysiakini
terkini untuk anda