'Tangguh atau batal?' - Setiausaha Zahid gesa penjelasan status projek jalan luar bandar
Kementerian Kewangan (MOF) digesa memberikan penjelasan berhubung status projek jalan luar bandar (JALB) yang ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baru pelaksanaan.
Gesaan itu dibuat setiausaha akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil susulan dakwaan tiada pembatalan projek berkenaan seperti didakwa MOF.
"Apa yang ramai tak tahu, surat bertarikh 10 September 2026 oleh MOF secara jelas mengarahkan langkah kawalan perbelanjaan. Satu duit tunggakan tak diberikan, duit yang telah diluluskan diarahnya untuk 'ditangguhkan'.
"Sebab itulah kita nak MOF jawab, tangguh tu sampai bila? 'Tangguh tanpa tarikh' itu samalah ertinya dengan 'batal'. Sebab dari mantan menteri kewangan jadi menteri sehinggalah dah lompat banyak parti - masih tiada jawapan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, ketika menggulung Belanjawan 2027, MOF menegaskan projek JALB tidak dibatalkan seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya hanya melibatkan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baru.
Menteri Kewangan Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada kementerian menyelesaikan tunggakan komitmen sedia ada sebelum SST baru dikeluarkan.
Dia turut menjelaskan perbelanjaan sebenar program JALB bagi tempoh 2023 hingga 2027 berjumlah RM11 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM3.7 bilion yang dibelanjakan sepanjang 2018 hingga 2022.
Menurutnya, angka berkenaan membuktikan perbelanjaan untuk pembangunan jalan luar bandar meningkat hampir tiga kali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.
Sementara itu, Fadzmel berkata penetapan tarikh pelaksanaan amat penting kerana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu menyediakan senarai projek pembangunan baru pada setiap tahun.
Katanya, ketiadaan kepastian terhadap projek lama bukan sahaja menjejaskan perancangan kementerian, malah boleh menyebabkan projek pembangunan rakyat tidak mampu dilaksanakan apabila keutamaan dan peruntukan baharu perlu disusun.
Mengulas lanjut, Fadzmel mendedahkan sebanyak 40 projek JALB dengan kos keseluruhan RM5.14 bilion terpaksa dibatalkan proses tender.
Selain itu, katanya, sebanyak 87 projek lagi membabitkan kos RM8.10 bilion turut mengalami penangguhan pengeluaran SST.
Secara keseluruhan, 127 projek bernilai RM13.24 bilion terjejas, termasuk projek pembinaan jalan yang diperlukan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Tegasnya, KKDW hanya mengambil tindakan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan dan menolak dakwaan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memberikan maklumat tidak benar berhubung perkara itu.
"Jadi dekat mana yang Ahmad Zahid bercakap bohong? KKDW hanya bertindak mengikut tatacara kewangan kerajaan," katanya.
Bang..bang tahu sakau saja tu sebab nak semua projek jalan..walaupun bina jalan ke dalam sungai??
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/f03fe9ee4ceb2c6b1bb93a3b94dd1395.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.