Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Stadium runtuh kerana dibina tak ikut spesifikasi
Diterbitkan:  Mar 11, 2010 11:34 AM
Dikemaskini: 4:36 AM

Kegagalan semua pihak yang dilantik membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu, mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium itu runtuh pada 2 Jun lalu, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

stadium sultan mizan terengganu gong badak 030609 Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Menteri besar berkata, laporan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut mendapati semua pihak yang dilantik membina stadium tersebut, menyumbang kepada keruntuhan bumbungnya.

"Tidak ada satu pihak pun yang ditunjukkan benar-benar paling bersalah. Semua bahagian pun ada (salah). Semua pihak menyumbang ke arah runtuhnya bumbung stadium itu," katanya.

Beliau mendedahkan laporan kertas siasatan kejadian itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini.

Bagaimanapun berkata, kontraktor utama adalah pihak yang bertanggungjawab penuh kerana telah mereka bentuk, membimbing dan membina struktur kerangka bumbung SMZA mengikut terma syarat reka dan bina.

ahmad said "Sekarang ini berdasarkan penjanjian, kontraktor adalah orang yang bertanggungjawab sepatutnya. Kita (kerajaan negeri) akan ikut pada perjanjian," katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa penyiasat, Ahmad berkata punca utama bumbung stadium berkenaan runtuh adalah berikutan bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi, faktor reka bentuk yang tidak memadai dan bumbung yang tidak dibina dengan sempurna.

Beliau berkata kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek serta pengawasan yang lemah semasa proses pembinaan stadium sedang dijalankan dan faktor kekurangan pekerja mahir juga menyumbang kepada kejadian tersebut.

Selain itu, Ahmad berkata kekurangan jurutera pakar dan konsultan yang berpengalaman selain sikap ambil mudah dan cuai di semua bahagian turut menjadi punca kepada kejadian itu.

"Masalah kita, kita selalu anggap apabila kita lantik konsultan, konsultan itu lebih hebat dari kita dan kita selalu ambil mudah. Bila ada sikap begitu, kita tidak akan periksa balik reka bentuk yang dicadangkan itu," katanya.

stadium gong badak 020609 Sementara itu, ditanya sama ada notis telah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit untuk menyelenggara semula stadium berkenaan, Ahmad berkata:" kontraktor dah dimaklumkan dan kita dah bagi notis kepada kontraktor supaya baiki semula, tapi (sehingga kini) masih belum ada jawapan".

Berikutan notis tersebut masih belum mendapat jawapan daripada kontraktor utama, beliau berkata tender bagi proses membersihkan dan penyelenggaraan runtuhan bumbung berkenaan akan dikeluarkan selewat-lewatnya minggu ini.

"Kita akan keluarkan tender secepat mungkin sebab kita dah setuju dalam minggu ini. Kita dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan keluarkan tender untuk kerja pembersihan.

"Kalau dah dibersihkan, kita tengoklah, kalau ia boleh digunakan, kita gunakanlah.

"Selain itu, kita juga kena tengok balik sama ada bangunan itu masih selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.

- Bernama

ADS