Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS hari ini menjelaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kewujudan Global Media Channel Sdn Bhd (GMC) iaitu pusat penyebaran propaganda bagi parti itu di Kelantan.

Selain itu Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali turut menafikan bahawa parti itu pernah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella bagi tujuan mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah di Kelantan.

"Saya telah semak dengan PAS Kelantan dan PAS Malaysia, kita tidak pernah keluarkan RM4 juta,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

NONE Syed Azidi, sebelum ini mendakwa dia dibayar RM4 juta bagi tujuan melemahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi perdana menteri.

Menurut Mustafa, beliau sendiri yang telah membuat pemeriksaan sama ada di peringkat pusat atau negeri dan didapati penyaluran peruntukan itu tidak pernah berlaku.

Selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November tahun lalu - Syed Azidi menjadi tumpuan kerana kerap mendedahkan pelbagai dakwaan 'kepincangan' dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Bukan agenda parti

Menurut Mustafa lagi,  beliau "tidak tahu menahu" mengenai dakwaan sejumlah wang tersebut digunakan untuk menjatuhkan Abdullah.

"Kita menentang dasar parti (lawan) dan matlamat (parti mereka) sebab ia bercanggah dengan dasar perjuangan PAS.

"Pak Lah turun, dan (Datuk Seri) Najib naik, semacam juga... kita tidak hadap (serangan) kepada (tubuh) orang," katanya sambil mendakwa Abdullah 'dijatuhkan' oleh pemimpin di dalam Umno sendiri.

Bagaimanapun beliau mengakui adalah menjadi agenda parti politik sama ada Pakatan Rakyat dan BN untuk menjatuhkan parti lawan mereka masing-masing.

"Pakatan Rakyat hendak menjatuhkan Umno, dan BN memang nak menjatuhkan kerajaan negeri (Pakatan). Ia memang menjadi agenda politik masing-masing.

"Menjatuhkan seseorang, tidak, (sebaliknya) menjatuhkan kerajaan, ya," katanya.

Serah kepada SPRM

Sehubungan itu, katanya, PAS akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Kami serahkan kepada SPRM menyiasat sehingga akar umbi. SPRM lah siasat, PAS tak perlu buat apa-apa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, PAS tidak dihubungi SPRM berhubung pendedahan Syed Azidi.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 02 Dalam sidang media itu juga, Mustafa berkata beliau mengikuti perkembangan pendedahan Syed Azidi (kiri) di akhbar dan mempersoalkan motif penulis blog itu, yang dibuatnya selepas dipecat dari PMBK.

Katanya, secara peribadi beliau tidak mengenali secara dekat penulis tersebut dan menyifatkannya "seorang lelaki yang tidak ada integriti dan tentera upahan politik".

Mengulas mengenai GMC, Mustafa berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya dan hanya mengetahui selepas didedah melalui akhbar.

Tambahnya, pemimpin tertinggi PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengetahui kewujudan pusat tersebut.

"Kalau saya tidak tahu, mereka lagi tak tahu," katanya.

 

 

 

ADS