Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Poligami: Hukuman terhadap Bung Mokhtar, Zizie esok

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur akan menjatuhkan hukuman ke atas ahli parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, pelakon Zizie Izette Abdul Samad esok kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

NONE Kesalahan tersebut membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Sebelum itu, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam kepada dua tertuduh utama Bung Moktar Radin dan Zizie Ezette Abd Samad.

Rayuan bagi lima lagi tertuduh yang merupakan jurunikah dan saksi bagi kes poligami tanpa kebenaran mahkamah itu juga dikemukakan bersama oleh peguam syarie Amli Embong.

Dalam rayuannya terhadap tuduhan yang dihadapi Bung Moktar dan Zizie Ezette, Amli berkata mahkamah perlu mengambil kira pengakuan bersalah oleh tertuduh apabila pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Katanya lagi, kesalahan ini juga merupakan kesalahan pertama Bung Moktar dan Zizie.

"Mereka tidak pernah disabitkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa kesalahan," katanya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Beliau juga merayu supaya kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan bon oleh penjamin.

Tambahnya, tertuduh akan terdedah kepada lebih banyak elemen negatif sekiranya hukuman penjara dikenakan.

Amli juga berkata, Bung Moktar merupakan tokoh yang disegani masyarakat dan bertanggungjawab ke atas 21,000 orang pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, sekiranya dipenjarakan, hukuman itu akan menjejaskan reputasi Bung Moktar sebagai orang yang berpengaruh di kalangan masyarakat.

Tambahnya, Bung Moktar juga masih perlu menyara seorang lagi isteri dan empat orang anak daripada perkahwinan terdahulu.

"Beliau mungkin akan diberhentikan kerja. Hukuman penjara juga tidak wajar jika dilihat umur tertuduh," katanya lagi.

Tambahnya, hukuman sama, sekiranya dikenakan ke atas Zizie Ezette, akan menjejaskan reputasi kerjaya anak guamnya itu sebagai seorang artis.

Pihak pendakwa bagaimanapun bertegas supaya hukuman setimpal dikenakan bagi kesemua tuduhan.

Pegawai pendakwa Zusyarafain Yusoff berkata hukuman tersebut perlu bagi mengelakkan tindakan kedua-dua tertuduh dijadikan contoh oleh masyarakat.

Katanya, Bung Moktar berpendapatan lebih RM20,000 sebulan manakala Zizie Ezette merupakan seorang anak dara ketika kesalahan tersebut dilakukan.

"Kedua-duanya merupakan ikon kepada masyarakat. Bagaimana pula pandangan masyarakat sekiranya undang-undang tidak dipatuhi oleh seorang pembuat undang-undang?

"Harus bagi hakim untuk mempertahankan undang-undang di mahkamah syariah supaya tidak dilihat sebagai mahkamah kelas kedua," katanya.

Dalam pada itu, Amli turut mengemukakan hujah yang sama untuk lima lagi tertuduh.

Tiga daripada tertuduh tersebut merupakan adik beradik Zizie - Ahmad Shahazmi (48), Shaheizy Sam (28) dan Samzy Fuzette (34).

Ahmad Sahazmi merupakan jurunikah bagi perkahwinan antara Bung Moktar dan Zizie Ezette.

Dua orang selebihnya ialah Titing Putang (46) dan Sahari Ahmad (44) yang turut menjadi saksi kepada pernikahan Bung Moktar dan Zizie Ezette.

Hujahan penggulungan bagi pertuduhan ke atas lima orang tersebut dijalankan oleh pegawai pendakwa Shafezan Rusli.

NONE Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad tetapkan keputusan esok jam 9 pagi bagi kesemua tujuh orang tertuduh.

Ketika beredar dari bangunan mahkamah, Bung Moktar melambai ke arah kumpulan yang memegang poster yang mendesaknya supaya meletak jawatan.

Manakala isterinya pula mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana hadir hari ini.

Pasangan tersebut mengaku bersalah pada 20 April terhadap tuduhan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di no 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada jam 8.50 malam 16 Disember tahun lalu.

Hakim membebaskan mereka dengan masing-masing jaminan lisan RM500 dan seorang penjamin.

 

ADS