Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki maut gaduh rebut kawasan dadah
Diterbitkan:  Jun 6, 2010 12:50 AM
Dikemaskini: 4:51 PM

Seorang lelaki maut sementara rakannya cedera dalam pergaduhan untuk merebut kawasan pengedaran dadah di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian pukul 3.00 pagi itu, kedua-dua mangsa sebelum itu diserang oleh tiga lelaki tempatan di tingkat tujuh di Selangor Mansion di kawasan itu.

"Suspek naik ke bangunan tersebut yang didiami kedua-dua mangsa selepas tidak berpuas hati kerana mengganggu kawasan mereka dengan menjual dadah di kawasan Chow Kit.

"Suspek yang berusia 30an kemudiannya menyerang kedua-dua mangsa itu dengan bersenjatakan pisau, besi dan kayu di dalam bilik mereka hingga parah," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek kemudiannya melarikan diri manakala kedua-dua mangsa turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan bantuan rakan sebelum seorang dari mereka rebah.

"Mangsa yang cedera parah ditikam dua kali di bahagian belakang badan dan satu tikaman di tangan kirinya, rebah ketika berada di hadapan sebuah kedai di bangunan tersebut sebelum mati.

"Manakala rakannya cedera dengan tiga tetakan di bahagian kepala dan satu tikaman di bahu belakang dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dipercayai akibat perebutan kawasan pengedaran dadah di Medan Bonus, Masjid India.

Katanya, mangsa yang mati mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala rakannya mempunyai 16 rekod jenayah.

"Polis sedang mengenalpasti dan memburu ketiga-tiga suspek yang melarikan diri," katanya.

- Bernama

ADS