Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM sokong NGO teruskan misi bantuan ke Gaza
Diterbitkan:  Jun 8, 2010 4:36 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tetap akan menyokong program dan usaha badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Saya fikir amat baik sekiranya NGO ini, kalau mereka bersetuju untuk terus membuat program seperti menghantar bantuan kemanusiaan dengan menggunakan bot atau kapal tertentu atau dengan apa cara sekali pun.

"Ini adalah supaya masalah dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza akan sentiasa dalam perhatian masyarakat dunia," katanya kepada pemberita selepas meraikan enam lagi sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan tentera Israel pada jamuan makan tengah hari di kediamannya di Langgak Duta di Kuala Lumpur, hari ini.

NONE Mereka ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, ketiga-tiganya daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), ahli parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, dan Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin, kedua-duanya daripada TV3.

Mereka yang menaiki kapal MV Rachel Corrie ditahan selepas tentera Israel menawan kapal itu dan membawanya ke Pelabuhan Ashdod. Mereka kemudian dibebaskan di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan dan pulang ke tanah air malam semalam.

Najib berkata, misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim Zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, Mukhriz berkata PGPO kini dalam usaha untuk mendapatkan semula kapal yang terbabit dalam misi kemanusiaan itu, termasuk kapal MV Rachel Corrie yang mungkin boleh digunakan semula untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan pada masa depan.

"Kalau boleh kita hendak kapal-kapal kita balik, Changer 1 dan 2 dan juga Rachel Corrie sebab itu telah dibayar. Sekarang ini, usahanya ialah untuk kerajaan Turki dan Jordan membantu membebaskan kapal-kapal kita," katanya.

Mengenai rancangan terbaru PGPO, Mukhriz berkata pertubuhan itu akan cuba membantu rancangan bekas Ahli Parlimen Britain, George Galore, yang mempunyai hubungan rapat dengan Gaza untuk menghantar 60 kapal misi bantuan kemanusiaan ke sana.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan kerajaan Malaysia yang disifatkan sebagai perangsang kepada sukarelawan negara untuk meneruskan rancangan penghantaran misi bantuan ke Gaza itu.

- Bernama

ADS