Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Melayu liberal', 'Melayu alat' cabaran baru Umno
Diterbitkan:  Jul 17, 2010 2:12 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Kepelbagaian Melayu adalah antara cabaran baru yang perlu dihadapi Umno bagi memastikan parti itu terus kukuh di atas landasannya.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata antara kepelbagaian Melayu itu termasuk wujudnya golongan "Melayu liberal" dan "Melayu alat."

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kangar hari ini, beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi bimbang jika cabaran itu tidak ditangani segera, ia akan menimbulkan masalah kepada parti dan orang Melayu.

Menurutnya, sikap golongan Melayu liberal bukan sahaja merugikan bangsa sendiri, tetapi ada di antara mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Mereka (Melayu liberal) anggap perjuangan Melayu sebagai sudah ketinggalan zaman," katanya sambil menambah bahawa golongan itu tidak memikirkan masa depan bangsa sendiri kerana telah menikmati kehidupan yang selesa.

Beliau berkata Melayu alat pula adalah golongan yang sering terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu sehingga mudah diperalat tanpa memikirkan masa depan negara dan bangsa.

Mohd Puad berkata jika orang Melayu begitu mudah diperalat oleh mana-mana pihak yang ingin melihat kehancuran, ia akan menjadi ancaman kepada Umno.

Sehubungan itu, katanya, Umno perlu bergerak di atas semangat perjuangan yang tinggi dan berterusan.

"Saya lebih suka menyebut moto "perjuangan" bagi Umno kerana ia lebih sesuai dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini", katanya yang mengaku taksub kepada perjuangan murni parti itu.

Terdahulu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar dalam ucapannya berkata, Umno perlu menjadi juara kepada perpaduan bagi menjana kemakmuran negara serta keharmonian rakyat berbilang kaum dan ia perlu menjadi contoh perpaduan itu .

--Bernama

ADS