Suasana pilu dan bercampur amarah menyelubungi pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini apabila kira-kira 60 orang berhimpun bagi menuntut keadilan atas kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan polis.

Lebih dua minggu selepas kejadian itu, punca dan sebab kematian Noorizwan masih belum diketahui. Lebih memilukan ahli keluarga adalah apabila mengenangkan hari ini merupakan hari lahir Noorizwan yang ke-42.

Ketika berucap di hadapan mereka yang hadir, adik Noorizwan, Nooranis, mempersoalkan bagaimana abangnya boleh meninggal dunia dalam keadaan begitu mengerikan ketika berada dalam tahanan polis.

“Hari ini, kami berkumpul untuk mengetahui mengapa abang saya dipukul dan diseksa. Dia dipukul ketika tangannya bergari.

“Bayangkan, dia dipukul sehingga meninggal dunia ketika tangannya bergari. Siapa yang bersama abang saya ketika itu? Siapa yang berada di sisinya ketika dia sedang nazak?” soal Nooranis.

Mereka yang hadir melaungkan “Tangkap pembunuh!” dan “Tuntut keadilan!” sambil mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab atas kematian Noorizwan diambil tindakan.

Mereka turut memegang plakad yang mempersoalkan tindakan polis, termasuk “Apa tindakan polis?” dan “Kami tidak akan diam”.

Perhimpunan itu disertai keluarga Noorizwan, pertubuhan masyarakat sivil dan orang awam yang menuntut pihak berkuasa bertindak serta memberikan penjelasan mengenai kes itu.

Turut hadir ialah wakil Lawyers for Liberty, Mandiri, HayatMY dan Bersama, serta ahli perniagaan Albert Tei.

Serah memorandum

Penganjur turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, yang diterima oleh pegawainya daripada Unit Komunikasi Korporat.

Memorandum yang disokong 75 kumpulan dan individu itu menggesa kematian Noorizwan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka turut menggesa pihak polis mengenal pasti dan menggantung tugas serta menahan anggota yang didakwa bertanggungjawab atau berada di tempat kejadian ketika Noorizwan ditahan dan didakwa dipukul di IPD Cheras.

Antara tuntutan lain ialah supaya semua bukti berkaitan, termasuk rakaman CCTV dan rekod tahanan, disimpan. Mereka juga mahu keluarga dan peguam dimaklumkan perkembangan siasatan secara berkala serta penjelasan mengapa keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan Noorizwan.

Peguam keluarga Noorizwan, Wan Nabila Dina Wan Zamri, berkata pihak keluarga mahu siasatan dijalankan secara telus dan ikhlas.

“Kami tidak mengharapkan polis tampil dan berkata, ‘Ya, kami bersalah’. Kami faham perkara ini merupakan urusan dalaman polis.

“Tetapi kami mahukan ketelusan dan keikhlasan daripada polis dalam menjalankan siasatan,” katanya.

Kecederaan parah

Noorizwan meninggal dunia pada 1 Okt selepas didakwa mengalami kecederaan akibat hentakan benda tumpul di kepala. Dia dilaporkan berada dalam tahanan di IPD Cheras selama kira-kira 10 hari.

Keluarganya tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau kemasukan Noorizwan ke hospital. Mereka hanya mengetahui kematiannya melalui kiriman mesej daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai polis, kira-kira 18 jam selepas dia meninggal dunia.

Bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi kanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz menemukan 21 kecederaan pada tubuh Noorizwan. Antaranya ialah bengkak teruk pada tengkorak, pendarahan dalam otak dan usus serta bengkak di seluruh tubuh.

Kecederaan serius itu dan kelewatan pihak berkuasa memberikan penjelasan mencetuskan desakan supaya siasatan dijalankan secara telus dan pihak bertanggungjawab diambil tindakan.

Polis hanya memberikan kenyataan mengenai kes itu 14 hari selepas berita kematian Noorizwan tersebar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dalam satu sidang media berkata punca kematian Noorizwan masih belum diketahui.

Menurutnya pihak polis masih menunggu laporan lengkap Jabatan Kimia dan keputusan rasmi patologi sebelum memuktamadkan siasatan.

Fadil turut berkata Noorizwan ditahan berhubung tiga laporan polis berkaitan dadah dan kesalahan lain. Menurutnya, Noorizwan mempunyai 44 rekod jenayah, termasuk 18 kes berkaitan dadah.

Bagaimanapun, peguam keluarga Noorizwan membidas kenyataan itu kerana menyifatkan Fadil sebagai tidak bertanggungjawab apabila menimbulkan mengenai rekod jenayah si mati, bukannya menjelaskan bagaimana Noorizwan mengalami kecederaan serius ketika dalam tahanan.