Pemilihan langsung PKR bermula 28 Ogos

Pemilihan secara langsung barisan kepimpinan PKR, akan bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada 17 September hingga 3 Oktober depan.

Menurut surat pekeliling dari setiausaha agung PKR, 222 cabang di seluruh negara diminta mengemukakan pencalonan mulai 27 Ogos hingga 12 September.

Borang pencalonan akan diedarkan mulai 6 Ogos dan ianya juga boleh diperolehi di pejabat PKR negeri dan di ibupejabat parti di Petaling Jaya Petaling. Borang itu juga boleh dimuat-turun dari lamanweb parti tersebut.

PKR merupakan parti politik pertama melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk  jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT.

Semua ahli parti yang berdaftar sebelum 27 Jun dibenarkan mengundi bagi 18 jawatan di peringkat cabang - pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi serta 15 jawatan ahli jawatankuasa.

Para ahli juga akan mengundi bagi 10 jawatan dalam sayap Wanita dan 20 jawatan bagi sayap Pemuda PKR.

Antara cabang yang menjadi tumpuan ialah Gombak (Azmin Ali), Kuala Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan Kota Raja (Xavier Jayakumar) - yang dijangka menyaksi pertandingan sengit.

Pencalonan mesti dibuat sekurang-kurangnya 21 hari dari tarikh mesyuarat peringkat cabang.

Mesyuarat peringkat cabang juga akan mengemukakan calon untuk bertanding jawatan dalam MPT termasuk presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden dan 20 anggota majlis tersebut

Pencalonan untuk jawatan tinggi ditutup pada 10 Oktober. Untuk layak bertanding, pencalonan mesti dibuat oleh sekurang-kurangnya dua cabang.

Dari 29 Oktober hingga 21 November, para perwakilan di peringkat negeri akan mengundi untuk memilih barisan kepimpinan peringkat tertinggi parti itu.

Pada masa ini, jawatan presiden PKR disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala jawatan timbalan presiden disandang oleh Syed Husin Ali.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.