Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iktiraf hak tanah, wilayah & sumber Orang Asli
Diterbitkan:  Aug 10, 2010 10:45 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Pada tahun 1994, perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengistiharkan 9 Ogos setiap tahun sebagai Hari Orang Asal antarabangsa, bersempena dengan dekad Orang Asal antarabangsa yang pertama 1995-2004.

Ini salah satu pencapaian terbesar Orang Asal yang memperjuangkan pengikhtirafan identiti, jatidiri dan hak kolektif bersama di pelbagai peringkat

Satu lagi pencapaian besar bagi masyarakat Orang Asal sedunia dicapai apabila perhimpunan agung PBB meluluskan dan menerima Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) pada 13 September 2007.

NONE PBB melalui program kerja dekad antarabangsa Orang Asal yang kedua (2005-2014) telah mensasarkan pelaksanaan deklarasi ini di semua negara melalui kerjasama semua pihak.

Malaysia bersama 143 buah negara lagi telah menyokong penerimaan Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) dalam Majilis Hak Asasi Manusia semasa perhimpunan Agung PBB pada 13 September 2007.

Deklarasi ini kini merupakan sebahagian daripada perundangan antarabangsa hak asasi manusia yang menggariskan piawaian minima bagi pengikhtirafan hak kolektif bersama Orang Asal yang perlu dituruti oleh kerajaan, agensi PBB, penyumbang dana dan pelaksana program berkaitan dengan Orang Asal.

Ini bermaksud, kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab secara moral dan politik untuk menuruti UNDRIP sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama menghormati hak asasi manusia di pelbagai peringkat.

Untuk membina masyarakat yang pluralistik, berbilang kaum dan agama, masyarakat Orang Asal memainkan peranan penting dalam budaya dan tradisi yang dikekalkan sejak bergenerasi lamanya.

Pembangunan rakus

Adat yang diperturunkan dari orang tua diwarisi oleh golongan muda agar ia tidak lapuk ditelan zaman dan akan diteruskan sehingga ke generasi akan datang.

NONE Budaya, tradisi, dan adat Orang Asal merupakan tunjang bagi identiti dan martabat Orang Asal, yang hidup bersama dalam perkongsian bersama hak kolektif Orang Asal di atas tanah, wilayah dan sumber asli komunitinya.

Masyarakat Orang Asal kini dieksploitasi. Mereka juga mengalami masalah rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta.

Penindasan budaya pula berlaku melalui pelan-pelan komersil, penafian Izin Makluman Awal, Bebas dan Telus (FPIC) ke atas perkara yang memberi kesan kepada Orang Asal. Ini termasuklah pembentukkan perundangan, polisi dan program tanpa melibatkan Orang Asal.

Ini menjadi lebih teruk lagi apabila pelan pembangunan yang rakus tanpa mengira piawaian mapan telah menceroboh ke kawasan Orang Asal.

Ia meninggalkan kesan-kesan buruk seperti pencemaran alam dan kehilangan sumber asli dan sekaligus melupuskan budaya dan tradisi Orang Asal yang telah diamalkan sejak generasi lamanya.

Pelan pembangunan tidak lestari/mapan - seperti pembalakkan tidak terkawal, perladangan sawit secara besar-besaran dan pembinaan empangan - sedang berleluasa dan semakin membinasakan alam sekitar dan sumber asli di hutan, sungai dan persisiran pantai.

Ini sekali gus memusnahkan amalam berterusan budaya dan tradisi Orang Asal yang hidup rapat dan bergantung kepada alam sekeliling.

Kekalkan identiti dan martabat

Situasi ini telah mengancam kehidupan dan kesinambungan masyarakat Orang Asal. Selagi pihak kerajaan menafikan pengikhtirafan Hak Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri yang perlu hidup dengan hak kolektif bersama - terutamanya ke atas tanah, wilayah dan sumber - ketidakadilan sosial akan bertambah teruk.

NONE Oleh itu, menjadi tanggungjawab yang penting bagi pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap permintaan Orang Asal. Antaranya dengan mengadakan dialog mengenai pengiktirafan Orang Asal sebagai golongan yang mempunyai identiti tersendiri.

UNDRIP menyediakan satu rangka kerja bagi membina hubungan baik antara kerajaan dan Orang Asal ke arah menghormati dan mengamalkan hak Orang Asal.

Ia juga menyediakan langkah untuk mengatasi konflik kerajaan dan Orang Asal dengan cara yang aman dan damai. Adaptasi negara-negara di Asia terhadap UNDRIP sekarang harus dilihat secara positif agar diskriminasi yang berlaku dihentikan.

Apabila kita merayakan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia, kita juga mesti mencari jalan agar hubungan yang terjalin lama dalam menuju kesedaran hak kolektif bersama Orang Asal akan menyumbang kepada keamanan, keadilan, kesamarataan dan pembangunan yang mapan untuk semua .

Sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia, seruan kami kepada keluarga Orang Asal sedunia, mari kita bersama-sama kuatkan perjuangan, terutamanya sekali di peringkat komuniti.

Marilah kita memperkasakan lagi solidariti dan kerjasama di peringkat antarabangsa dan serantau. Marilah bersama-sama menuju aspirasi yang sama untuk mengekalkan identiti dan martabat kita sebagai masyarakat Orang Asal!


Disediakan oleh Jaringan Orang Asal Semalaysia sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos (semalam).
ADS