Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.

azlan Ia merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lalu, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan berikutan  terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.

Pada keterangannya tahun lalu, Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat Teoh  dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

NONE Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping ‘nota misteri’.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.

Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.

teoh beng hock grave nirvana memorial park 170710 02 Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, - tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu.

Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku ‘cerebral edema’.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia , di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

NONE Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

NONE Malik ( kanan ) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun nota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katanya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sesinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.

teoh beng hock plaza masalam macc sprm 160709 candlelight vigil flower picture Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah berdasarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Asia - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.

NONE Gobind bangkit dan mengarahkan Razak ( kanan ) menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakkan daripada mereka di mahkamah itu.

"Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM,” katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak:

Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: “Saya habiskan masa tiga hari membacanya.”

teoh beng hock funeral 200709 casket Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambut dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.

Pengalaman terjun bangunan 

Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.

NONE Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didapati lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.

Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba ‘memasukkan perkatan’ dalam mulut Pornthip. “Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!” 

Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip:

Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak:

Kita bekerja berdasarkan majoriti.

NONE Selepas Razak, giliran kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Tan Hock Chuan memulakan soalannya.

Menjawap soalan Tan, Pornthip memaklumkan beliau tidak sependapat dengan keterangan Dr Shahidan bahawa kecederaan pada tengkuk Teoh adalah konsisten dengan kejatuhan.

Mahkamah koroner selesai menyoal-balas Porntip sebagai saksi pada jam 12.25 tengah hari.

Koroner Azmil Munthapa kemudiannya mengumumkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 September ini.

ADS