Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mashitah: AJK patut jaga kesucian masjid
Diterbitkan:  Sep 8, 2010 3:57 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Anggota jawatankuasa masjid atau surau diminta lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesucian tempat beribadat orang Islam itu agar ia terus terpelihara daripada pihak yang cuba mempolitikkannya.

NONE Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, berkata ahli jawatankuasa lebih mengetahui ruang sesuai di kawasan masjid atau surau yang boleh digunakan untuk aktiviti membabitkan orang bukan Islam, sekiranya masjid atau surau dipilih sebagai tempat sesuatu program itu diadakan.

"Perkara paling penting ahli jawatankuasa masjid kena bertanggungjawab memelihara kesucian masjid kerana mereka lebih mengetahui had kawasan mana yang dibenarkan untuk mengadakan aktiviti yang terbabit dengan orang bukan Islam," katanya selepas melancarkan dan mengedarkan cakera padat khas Hari Raya "Teman Perjalanan" kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di Restoran Jejantas Sungai Buloh hari ini.

NONE Baru-baru ini, kehadiran ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching, dalam Surau Al-Huda di Kajang dan memberi ucapan di ruang utama solat telah menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Sebuah akhbar menyiarkan gambar wanita yang tidak bertudung itu sedang berucap, sambil diperhatikan oleh seorang pegawai surau berkenaan.

Seorang lagi wakil rakyat bukan Islam, William Leong, pula telah masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa di Selayang Baru untuk satu majlis lain.

Mashitah berkata, Islam tidak melarang orang bukan Islam untuk memasuki perkarangan masjid tetapi bukanlah hingga ke dalam ruang solat kerana ia adalah tempat suci bagi orang Islam untuk menunaikan solat.

"Perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya ahli jawatankuasa memainkan peranan lebih awal dalam menjaga kesucian masjid," katanya.

Mengenai CD berkenaan, Mashitah berkata ia mampu memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung keselamatan mereka sewaktu pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.

CD itu mengandungi nasihat, pesanan, doa dan ucapan Hari Raya daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pihak berkuasa, tokoh masyarakat, personaliti dan artis.

Sebanyak 4,000 CD hasil inisiatif Karyawan Bestari Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Jaksa Pendamai Selangor, MFDM Holding Sdn Bhd serta sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Plus Expressways Bhd itu, diedarkan percuma kepada pengguna jalan raya.

- Bernama

ADS