Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat Agung PAS terbakar
Diterbitkan:  Nov 4, 2010 10:44 AM
Dikemaskini: 7:46 AM

Tingkat 1 Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dilaporkan  terbakar sehingga ke tingkat bawahnya.

Menurut HarakahDaily , kebakaran itu bagaimanapun, tidak merebak ke seluruh bangunan dan berjaya dikawal oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Ketika ini, kebanyakan petugas dan kakitangan pejabat PAS dilaporkan berada di Galas, Gua Musang dan juga di Batu Sapi, Sandakan untuk pengundian pilihan raya kecil hari ini.

Menurut seorang kakitangan yang tidak mahu dikenali, kebakaran mula dikesan pada jam 8.30 pagi ini apabila para petugas pejabat  itu mula melihat asap berkepul-kepul keluar dari tingkat 1 yang menempatkan bahagian pentadbiran bangunan PAS itu.

Kebakaran itu kemudiannya mula merebak ke bawah sehingga ke tingkat bawah.

Selepas bomba sampai, semua kakitangan pejabat tidak dibenarkan masuk ke bangunan itu lagi.

Cerek elektrik

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari satu cerek elektrik yang terlupa ditutup.

Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula diduduki pada tahun 2007.

Bangunan itu secara asasnya dibeli pada harga RM6.1 juta yang asalnya dimiliki oleh Kwong Yik Bank dan kemudiannya dibeli oleh 'merger bank' iaitu Rashid Hussin Bank (RHB) Berhad.

Oleh kerana bangunan itu (selepas dimiliki oleh RHB) adalah bangunan pangkalan data bagi bank tersebut, struktur pejabatnya terpaksa diubah selepas PAS memilikinya.

Akhirnya selepas pengubahsuaian membabitkan kos bernilai RM1.9 juta kos keseluruhan mencecah RM8 juta.

Bangunan ibu pejabat PAS itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat menzanie, kedai serbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.

Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata asap tebal itu berpunca daripada kotak suis di tingkat satu yang terbakar.

Bomba menerima panggilan pada 8.41 pagi dan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit dan Sentul dengan 16 anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian didapati ruang pejabat itu telah dipenuhi asap, bagaimanapun kebakaran tidak begitu teruk," katanya.

ADS