Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puasa Arafah pada 16 November ini
Diterbitkan:  Nov 9, 2010 10:25 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Puasa hari Arafah untuk umat Islam di negara ini, ialah pada 16 Nov bersamaan 9 Zulhijjah, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata ini berikutan penetapan Hari Raya Aidiladha pada 17 Nov dan permulaan 1 Zulhijjah, semalam.

Katanya pada tahun ini Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada tarikh yang sama.

Mengenai penentuan Hari raya Aidiladha tahun ini, katanya cawangan falak jabatan itu telah menggunakan kaedah rukyah atau cerapan dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah iaitu kebolehnampakan, yang turut diterima oleh Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura sejak 1992.

"Berdasar rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431 Hijrah di sebanyak 30 tempat cerapan rasmi di negara ini oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada Sabtu lalu, telah mendapati anak bulan tidak kelihatan di semua tempat cerapan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

"Hasil data cerapan tersebut kedudukan hilai atau anak bulan telah tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur rukyah atau kebolehnampakan," katanya sambil menambah Ahad lalu telah ditetapkan sebagai hari genapnya bulan Zulkaedah dan semalam sebagai permulaan Zulhijjah.

"Kriteria imkanur rukyah adalah ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang daripada tiga darjah," katanya.

 Wan Mohamad berkata satu lagi kaedah ialah ketika hilal terbenam apabila umur hilal tidak kurang daripada lapan jam (kaedah ini diambil kira selepas ijtimak berlaku).

Beliau berkata orang ramai boleh mengakses dan merujuk Info Kriteria Imkanur-rukyah di Malaysia dan data-data berkaitan melalui laman web jabatan itu di www.islam.gov.my

ADS