SURAT | | Aduhhh... lepas kalah, kalah lagi, dan lagi!

Nampaknya PH kena ‘masuk gua’ lebih kerap berbanding Man United.

PRN Melaka lalu menyaksikan satu lagi keputusan yang mengecewakan buat PH. Daripada 2 kerusi yang ditandingi, PH hanya berjaya memenangi empat. BN pula memperoleh 21 kerusi manakala baki lagi tiga PN.

Persoalannya, sampai bila keadaan itu mahu dibiarkan?

Masalah yang dihadapi sebenarnya sudah lama dibangkitkan. Bukan sekali dua teguran dibuat. Sudah banyak kali suara penyokong meminta supaya kepimpinan kerajaan melakukan penilaian semula, termasuk membuat rombakan kabinet.

Menteri yang prestasinya tidak memuaskan dan tidak mendapat kepercayaan rakyat perlu dinilai semula. Begitu juga kedudukan serta peranan parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

Secara peribadi, saya melihat salah satu persoalan besar yang perlu dijawab ialah bagaimana kerajaan mahu membina keyakinan rakyat jika masih terdapat rasa tidak puas hati terhadap prestasi dan sikap sesetengah pemimpin dalam kerajaan?

Jangan sampai rakyat melihat ada pihak yang berada dalam kerajaan tetapi lebih banyak bertindak seperti pembangkang berbanding menunjukkan semangat memikul tanggungjawab bersama.

Kita sudah melihat keputusan pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Yang terbaru – Melaka – dan ia memberikan isyarat yang tidak boleh dipandang ringan.

Saya tidak mengatakan semua kekalahan itu berpunca daripada satu faktor sahaja. Banyak perkara perlu dikaji, termasuk prestasi kerajaan, calon, strategi parti, isu tempatan dan penerimaan rakyat.

Tetapi satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah keputusan pilihan raya merupakan cerminan pilihan pengundi. Pemimpin perlu berani membaca mesej yang disampaikan melalui peti undi.

Kali ini, adakah suara penyokong, pemerhati politik dan pengkritik kerajaan masih mahu diketepikan?

PH tidak boleh menunggu sehingga PRU ke-16 nanti baru mahu sedar. Ketika itu, kalau sudah hanyut di lautan dalam, mungkin terlalu sukar untuk mencari jalan kembali ke pantai.

Saya masih percaya bahawa perubahan boleh dilakukan. Tetapi perubahan memerlukan keberanian untuk mengakui kelemahan, menerima teguran dan memperbetulkan kesilapan.

Jangan hanya pandai meminta rakyat memberikan peluang. Buktikan dahulu bahawa peluang yang diberikan selama ini tidak disia-siakan.

Rakyat sudah memberikan isyarat. Persoalannya, adakah pemimpin mahu mula mendengar?


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei selama 24 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.