Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini disiasat polis berhubung satu insiden melibatkan pusat khidmatnya yang disimbah cat dalam satu kejadian pada awal bulan ini.

Selain Shuhaimi, seorang pegawainya Mohammed Azmin Abdul Kadir turut hadir bagi siasatan berasingan, berhubung tulisan di blog wakil rakyat berkenaan yang didakwa menghina Sultan Selangor.

NONE Kenyataan kedua-duanya dirakamkan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah, kata Shuhaimi.

Tambahnya, beliau diambil keterangan oleh dua orang pegawai polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam bermula jam 4.30 petang ini tanpa ditemani peguam.

Siasatan selama satu setengah jam itu antara lainnya menjurus kepada rentetan kejadian pada 7 Januari yang berlaku di pusat khidmatnya di Bukit Kemuning, Shah Alam, kata Shuhaimi.

"(Polis) tanya balik kejadian pada 7 Januari itu, siapa beritahu saya (mengenai insiden simbah cat) dan macam mana saya dapat tahu," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.

Shuhaimi menjelaskan, beliau memberitahu polis bahawa beliau tidak berada di pejabat ketika kejadian berlaku.

Namun, beliau telah menghubungi anggota polis yang bertugas di Kota Kemuning pada hari tersebut untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Susulan daripada itu, satu laporan polis kemudiannya dibuat oleh anggota berkenaan, katanya lagi.

NONE Tambahnya lagi, siasatan ke atas Mohammed Azmin pula berlangsung selama dua jam, bemula jam 4 petang ini.

Mohammed Azmin disiasat di bilik berasingan di balai polis yang sama dengan ditemani peguam Mohd Razlan Jalaluddin.

"(Mohammed Azmin) ditanya berhubung blog Sri Muda dan berbagai perkara berkaitan," kata Shuhaimi lagi.

Tambahnya, tindakan itu merupakan siasatan kelima yang dijalankan polis ke atas pengurus pusat khidmatnya itu.

Polis telah mengambil keterangan Mohammed Azmin bermula 14 Januari lalu ketika pusat khidmat tersebut diserbu anggota pasukan berkenaan.

Shuhaimi pula telah disiasat kali pertama pada 12 Januari lalu berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor di blog srimuda.blogspot.com.

Shuhaimi juga berkata, polis menghubunginya semalam untuk merekodkan kenyataannya pada malam tadi.

"Tapi saya dah rujuk peguam. Peguam kata tak usah pergi malam tadi jadi saya datang hari ini saja.

"Lagi satu saya nak tanya, peralatan komputer yang dirampas daripada pejabat saya itu bila hendak dipulangkan?," soalnya lagi.

ADS