Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan ke atas menantu Nik Aziz diteruskan: SPRM
Diterbitkan:  Jan 27, 2011 5:47 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan berkata, siasatan membabitkan penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap menantu Menteri Besar Kelantan masih belum selesai.

NONE Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor, berkata kes membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman ( kanan ), masih disiasat.

Katanya, SPRM kini sedang mendapatkan beberapa lagi maklumat dan dokumen bagi memantapkan lagi siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Sebelum ini, ibu pejabat SPRM hanya mengumumkan penutupan kes mengenai pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO di dalam PMBK, yang menimbulkan kontroversi kerana pelantikan keluarga terdekat, dan bukannya kes membabitkan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan membabitkan menantu Menteri Besar itu.

"Ada beberapa perkara yang masih dalam siasatan terhadap kes itu. Saya juga tidak dapat memberitahu secara terperinci bentuk penyiasatan itu. Yang pasti kes itu masih di bawah SPRM Kota Bharu.

"SPRM Negeri masih belum menutup penyiasatan kes Abdul Ariffahmi itu, walaupun ibu pejabat SPRM telah memutuskan menutup kes yang disyaki melibatkan (Menteri Besar Datuk) Nik Aziz (Nik Mat)," katanya selepas Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama SPRM di ibu pejabat JPJ, Panji dekat Kota Bharu, hari ini.

suruhanjaya pencegahan rasuah malaysia anti corruption commission Nasaruddin berkata demikian sebagai mengulas sama ada SPRM telah menutup kes penyiasatan yang disyaki berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang disifatkan berprofil tinggi membabitkan menantu Menteri Besar itu.

Pada 15 Disember tahun lalu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata pihaknya menutup dua kes berprofil tinggi membabitkan penerimaan wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji oleh Menteri Besar Kelantan dan pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK.

Pada akhir 2009, SPRM membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji.

Abdul Ariffahmi berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dan dilantik sebagai CEO pada 20 September 2009, mencetuskan kontroversi amalan nepotisme dalam Pas selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan sehingga menuntut SPRM membuat siasatan.

Susulan itu, beliau dinasihat melepaskan jawatannya oleh Nik Abdul Aziz selepas mendapat tekanan daripada pimpinan PAS demi menjaga nama baik parti itu, seterusnya menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini.

Nasarudin berkata, SPRM masih lagi menyiasat wujudnya penyelewengan dalam masalah membabitkan urusan perpindahan peniaga-peniaga Pasar Arked Lambok Uda dan Pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ke Bazar Tok Guru, di Kota Bharu.

Beliau berkata, siasatan awal SPRM mendapati tidak ada wujud unsur-unsur rasuah dalam projek itu, cuma ia melibatkan rasa tidak puas hati peniaga berhubung janji antara pihak peniaga (pembeli) dengan pemaju.

“Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan kami dan kita akan tengok bagaimana dari segi prosedur atau sebagainya, setelah kita terima aduan,” katanya.

- Bernama

ADS