Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM tiba di Abu Dhabi untuk lancarkan Invest M'sia
Diterbitkan:  Jan 30, 2011 10:39 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Abu Dhabi Sabtu malam bagi melancarkan forum dan Invest Malaysia 2011

Magazine, dalam usaha menarik lebih ramai pelabur Negara-negara Teluk untuk melabur di Malaysia.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi disambut ketua protokol Kementerian Luar Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Abdul Salam Harib.

Turut hadir Duta Besar Malaysia Datuk Yahaya Abdul Jabar dan pegawai-pegawai kedutaan dan agensi-agensi kerajaan Malaysia.

Najib diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan kerja sehari itu.

Pesawat mereka mendarat di Abu Dhabi, ibu negara UAE, pada kira-kira 11 malam Sabtu waktu tempatan (3 pagi Ahad di Malaysia).

Majlis Invest Malaysia 2011 dianjurkan bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Focus International dan Arabian Business dan kedutaan Malaysia di Abu Dhabi.

Najib juga dijadual menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Ekonomi, Pelaburan dan Teknikal (FAECITC) antara Malaysia dan negara anggota Majlis Kerjasama Negara Arab Teluk (GCC).

Kerjasama itu merupakan pelopor kepada perjanjian dagangan bebas antara Malaysia dan negara-negara anggota GCC iaitu Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain dan UAE.

Najib juga dijangka bertemu beberapa pemimpin industri dari negara-negara Teluk di luar daripada majlis Invest Malaysia 2011 yang diadakan di Emirates Palace Hotel.

--Bernama

ADS