Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihan raya kampus: UM kesal campur tangan luar
Diterbitkan:  Feb 22, 2011 10:08 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Ghauth Jasmon kesal dengan tindakan Mariam Abdul Rashid, ibu calon Pro-Mahasiswa Masturah Abu Bakar, yang bersolat hajat dan berceramah untuk membantu kempen anaknya di kampus itu Ahad lalu.

NONE Beliau berkata pihak universiti tidak membenarkan orang luar membantu kempen pelajar UM kerana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) adalah khusus untuk pelajar.

"Kita mahu pelajar belajar bagaimana menjelaskan misi dan matlamat mereka kepada orang ramai melalui pemilihan ini, dan belajar bagaimana menjadi pemimpin, sebab itulah tiada pihak luar dibenarkan melibatkan diri dalam kempen," katanya pada sidang akhbar di Kolej Kediaman Ketujuh di UM hari ini.

Beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak keselamatan untuk mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku kerana tindakan Mariam dilihat sebagai membelakangkan pihak universiti.

NONE Ahad lalu, Mariam ( kiri ) dilihat menunaikan solat hajat di dalam kampus universiti itu sebelum memberi ceramah berunsur kempen.

Mengenai kehilangan Masturah, Ghauth berkata beliau masih tidak mendapat gambaran jelas berhubung perkara itu kerana hanya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pembantu khasnya pada pagi Ahad.

Beliau berkata usaha untuk bertemu keluarga Masturah dan pelajar itu juga gagal.

NONE "Saya arahkan Timbalan Naib Canselor Profesor Datuk Rohana Yusof menghubungi keluarga Masturah, dan menurut beliau, keluarganya kedengaran biasa tanpa sebarang emosi sedih atau risau atas kehilangan itu," katanya.

Masturah, 22, penuntut jurusan Sains Politik Syariah Islam di Akademi Pengajian Islam UM, hilang sejak Jumaat selepas keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di Kuala Lumpur ketika berkempen untuk  pemilihan itu.

Beliau, yang bertanding merebut kerusi umum pada pemilihan itu bersama 19 calon lain, ditemui di Masjid Teras Jernang, Bangi tengah malam Ahad selepas ditinggalkan di tepi jalan.

- Bernama

ADS