Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Telefon pegawai SPRM tiada maklumat pada hari kejadian
Diterbitkan:  Mar 7, 2011 7:36 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa telefon bimbit milik enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengandungi maklumat pada hari kejadian.

    

Penolong juruanalisis, Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan berkata maklumat mengenai panggilan masuk, panggilan keluar, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan yang tidak dijawab hanya boleh diperoleh bagi tarikh selepas 22 Julai 2009.

    

Katanya, bagi tarikh penting seperti 15, 16 dan 17 Julai 2009, tiada sebarang maklumat dikesan kerana berkemungkinan simpanan data untuk telefon terbabit terhad ataupun ia adalah telefon baru.

    

Beliau telah menganalisis lima buah telefon bimbit, masing-masing milik Hairul Ilham Hamzah, Azim Hafiz Jamaluddin, Mohd Asraf Mohd Yunos, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Nadzri Ibrahim pada 23 Julai 2009.

    

Katanya, empat daripada telefon bimbit itu dapat dianalisis tetapi gagal berbuat demikian bagi telefon bimbit milik Mohd Nadzri kerana ia mempunyai 'pin lock key'.

    

Pada 13 Ogos 2009, Mohd Zaidi menganalisis dua buah telefon bimbit milik bekas Timbalan Pengarah SPRM negeri Selangor Hishamuddin

Hashim tetapi ia juga tidak menyimpan maklumat pada tarikh tersebut (15,16 dan 17 Julai).

    

Terdahulu Mohd Zaidi memberitahu bahawa beliau menggunakan perisian 'XRY' untuk mengesan maklumat pada kesemua telefon terbabit.

    

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

- Bernama

ADS