Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertempuran masih berterusan di Libya
Diterbitkan:  Mar 23, 2011 9:09 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Pertempuran dilaporkan masih meletus di antara tentera yang setia dengan pemimpin Libya, Muamar Gaddafi, dan pemberontak di beberapa bandar biarpun zon larangan terbang yang diluluskan PBB sedang dikuatkuasakan.

NONE Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata tentera Gaddafi masih menyerang orang awam dan keraguan berhubung cara terbaik meneruskan kempen itu dan hala tujunya berterusan.

Menteri Luar Perancis, Alain Juppe, berkata tindakan pada masa depan pakatan Barat yang memulakan serangan udara Sabtu lalu terhadap kemudahan tentera Gaddafi, bergantung kepada tindakan pemimpin Libya itu.

“Tindakan ketenteraan boleh berhenti pada bila-bila masa saja. Apa yang perlu ialah rejim Tripoli mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dan menerima gencatan senjata sebenar,” katanya.

Jalan keluar

Beliau menggesa Gaddafi mengundurkan tenteranya yang sedang mara ke kawasan pemberontak dan membawa "mereka pulang ke berek".

Sementara itu, tembakan antipesawat dilepaskan di Tripoli malam semalam ketika beberapa letupan sayup kedengaran.

NONE Di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, berkata mereka yang rapat dengan Gaddafi menghubungi sekutu Libya di seluruh dunia untuk melihat bagaimana mereka dapat "keluar daripada kemelut itu".

“Kami mendengar mengenainya...mereka yang rapat dengan beliau menghubungi orang yang mereka kenali di seluruh dunia - Afrika, Asia Barat, Eropah, Amerika Utara dan seterusnya - dengan bertanya: Apakah yang harus kami lakukan? Bagaimana kami keluar daripada kemelut ini? Apa yang akan berlaku kemudian" katanya.

“Saya tidak tahu bahawa Gaddafi sendiri menghubungi pihak luar tetapi saya tahu orang yang dikatakan bertindak bagi pihaknya berbuat demikian," kata Clinton menurut sedutan temubual yang akan disiarkan ABC World News.

 - AFP

ADS