PARLIMEN | Chow Yu Hui (PH-Raub) mempersoalkan asas larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam dan meminta kerajaan menjelaskan sama ada aplikasi lain seperti Google Maps, Instagram dan WhatsApp masih dibenarkan.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Chow turut meminta pengesahan mengenai arahan itu serta penjelasan sama ada larangan meliputi penggunaan pada telefon peribadi dan di luar waktu bekerja.

Dia menyoal mengapa Waze sahaja dikenakan larangan atas kebimbangan risiko keselamatan data, sedangkan aplikasi navigasi itu dimiliki Google sejak 2013.

“Jika Waze dilarang kerana syarikat itu berpangkalan di Israel, walaupun Waze dimiliki Google sejak 2013, apakah perbezaan risiko keselamatan data antara Waze dengan Google Maps yang dimiliki syarikat induk sama?” soalnya.

google maps and waze

Ahli parlimen DAP itu turut merujuk laporan terdahulu mengenai dakwaan pengintipan oleh Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat (NSA) terhadap telefon bimbit bekas canselor Jerman Angela Merkel.

Dia berkata kerajaan AS juga menyokong Israel, lalu mempersoalkan sama ada kebimbangan keselamatan serupa turut meliputi aplikasi lain dari negara itu.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat menjelaskan asas penilaian yang digunakan untuk melarang penggunaan Waze dalam kalangan semua penjawat awam serta keberkesanan larangan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa larangan penggunaan Waze diperluas kepada semua rakyat Malaysia jika aplikasi itu benar-benar menimbulkan ancaman keselamatan.

Afnan (PN-Alor Setar) berkata sekatan tidak sepatutnya terhad kepada penjawat awam jika penggunaan aplikasi itu berbahaya.

“Kalau betul Waze itu bahaya, jangan bagi Waze itu masuk Malaysia ini. Semua orang tak boleh pakai Waze, bukan setakat penjawat awam.

"Ini ancaman digital, yang sedang melanda kita tanpa kita sedar,” katanya.

Terdahulu hari ini, kerajaan dilaporkan melarang penjawat awam menggunakan Waze susulan kebimbangan mengenai kaitannya dengan Israel serta risiko terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.

Larangan berkuat kuasa serta-merta itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan data rakyat.

Dia turut menggalakkan penggunaan TuJu, aplikasi navigasi tempatan yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd, sebagai alternatif.