PARLIMEN | Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 hari ini menyentuh isu serantau, apabila seorang ahli parlimen pembangkang menyampaikan mesej khusus kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Bagi memastikan mesejnya menggesa tindakan segera daripada Indonesia untuk menangani krisis jerebu dapat difahami, Kalam Salan (Bersatu-Sabak Bernam) memilih untuk turut bertutur dalam bahasa Jawa.

"Pak Prabowo yang dihormati, tolonglah ambil tindakan segera. Padamkan api, hentikan kebakaran dan pastikan masalah ini tidak berulang setiap tahun.

"Kita nak langit yang cerah, udara bersih dan rakyat kedua-dua negara dapat hidup sihat dengan aman.

"Mungkin pihak kepimpinan sebelah sana, yang kebanyakannya orang Jawa, tak faham cakap bahasa Melayu.

"Biarlah saya, dengan izin Parlimen, Dewan yang mulia ini, bercakap dalam bahasa Jawa," kata Kalam, yang juga berketurunan Jawa.

Dia kemudian menterjemahkan sebahagian daripada ucapannya tadi ke dalam bahasa Jawa, sambil mengingatkan Prabowo bahawa jerebu turut menjejaskan pekerja warga asing Indonesia di Malaysia serta keupayaan mereka untuk bekerja.

“Kulo matur suwun (saya ucapkan terima kasih), Bapak Presiden,” katanya mengakhiri peringatan tersebut, seraya menambah, “harap-harap mereka faham.”

Mesej Kalam kepada Prabowo itu selepas dia menggesa agar Putrajaya mendesak Filipina—selaku pengerusi Asean bagi 2026—untuk menggerakkan tindakan serantau yang lebih tegas terhadap krisis jerebu yang sering berulang.

Lima cadangannya merangkumi penguatkuasaan bersama, sistem amaran awal Asean yang menggunakan data satelit masa nyata, serta pasukan tindak balas kecemasan serantau untuk menangani kebakaran hutan.

Dia turut menggesa akauntabiliti yang lebih kukuh di bawah Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, serta penubuhan dana serantau bagi tujuan pencegahan kebakaran, pemulihan tanah gambut, dan penyaluran bantuan kepada komuniti yang terjejas.

Cadangan itu selari dengan usaha baru antara Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani krisis tersebut.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kedua-dua negara sedang meneliti memorandum persefahaman mengenai kerjasama alam sekitar, termasuk perkongsian data titik panas, pengurusan kawasan berisiko tinggi, serta penyelarasan usaha awal pemadaman kebakaran.

Malaysia juga telah mencadangkan penubuhan dana jerebu lestari Asean dan kerjasama yang lebih erat melalui diplomasi sains.

Syed Ibrahim menyatakan bahawa Indonesia telah bersetuju menerima tawaran bantuan daripada Malaysia untuk menangani kebakaran di Kalimantan dan Sumatra, dengan urusan pengerahan bantuan kini sedang diselaraskan.