Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jepun: Angka korban, hilang cecah 26,000
Diterbitkan:  Mar 24, 2011 1:35 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Dua minggu selepas gempa bumi kuat dan tsunami besar melanda pantai timur laut Jepun, pihak berkuasa berkata bilangan mangsa yang disahkan mati atau hilang kini melebihi 26,000 orang.

NONE Bagaimanapun, terdapat kebimbangan angka korban bencana yang meranapkan seluruh bandar di pantai Pasifik pulau Honshu itu meningkat lebih tinggi.

Agensi Polis Kebangsaan menyatakan perangkaan terkini ialah 9,700 mangsa disahkan terbunuh  manakala 16,501 lagi disahkan hilang, iaitu keseluruhan 26,201 mangsa akibat bencana berkembar pada 11 Mac lalu.

Seramai 2,766 lagi mangsa cedera.

Sementara itu, iodin radioaktif dalam air minuman di Tokyo kini dilaporkan susut kembali ke tahap selamat untuk bayi hari ini.

Menurut seorang pegawai kerajaan bandaraya itu, sampel air yang diambil kelmarin dan disiarkan semalam, mengandungi lebih sekali ganda tahap selamat untuk bayi, iaitu 210 becquerels (Bq) sekilogram.

Tetapi tahap itu susut kembali kepada 79 Bq dalam ujian hari ini.

NONE Tahap selamat tertinggi adalah 100 Bq untuk bayi dan 300 Bq untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Di Osaka, agensi keselamatan nuklear Jepun berkata  sebahagian daripada bekalan elektrik ke bilik kawalan satu daripada reaktor di loji nuklear Fukushima Daiichi berjaya dipulihkan pada 0230 GMT (10.30 pagi waktu Malaysia).

"Lampu bernyala di bilik kawalan satu daripada reaktor pada 11.30 pagi ini. Namun, kami masih belum pasti sama ada ini bermakna sistem penyejukan akan pulih," kata seorang pegawai agensi itu.

- AFP

ADS