Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Namakan pengganti, elak Taib bina dinasti
Diterbitkan:  Apr 11, 2011 3:32 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

PAS hari ini terus menggiatkan tekanan supaya perdana menteri menamakan pengganti ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telahpun mengumumkan untuk bersara selepas pilihan raya negeri dijalankan.

PAS khuatir sekiranya penjelasan berkenaan hanyalah sekadar satu "sandiwara" memandangkan Abdul Taib turut diperturunkan untuk mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya negeri kali ini.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa berkata, perdana menteri perlu menamakan pengganti Abdul Taib bagi mengelakkan keluarga ketua menteri itu terus "membina dinasti keluarga."

Tegasnya, perdana menteri perlu menamakan pengganti berkenaan sebelum pilihan raya negeri dijalankan pada 16 April.

Tambahnya, tindakan perdana menteri mengizinkan Abdul Taib bertanding juga "dilihat memberikan restu untuk Tan Sri Taib sekali lagi menjadi ketua menteri Sarawak."

Tambahnya, langkah itu juga menunjukkan perdana menteri turut "bersekongkol" dengan "mengizinkan penindasan" terus dijalankan ke atas rakyat Sarawak.

"Tan Sri (Abdul) Taib Mahmud telahpun mengeluarkan kenyataan untuk berundur daripada jawatan ketua menteri sewaktu pilihan raya 2006 tetapi sehingga sekarang masih belum melakukannya.

"Sekarang, janji tersebut diulang tayang semula kepada rakyat Sarawak sebagai harapan palsu bahawa perubahan akan berlaku," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Husam turut mendakwa, Abdul Taib "gagal membersihkan diri" berhubung dakwaan meraih kekayaan melalui jawatan ketua menteri dan juga keluarganya.

Katanya lagi, kawasan hutan Sarawak juga telah digondolkan sedangkan sebahagian besar rakyat negeri itu masih dalam keadaan mundur dan miskini.

"Sekalipun isu-isu rakyat Sarawak (adalah) lebih kepada dasar-dasar BN Sarawak yang telah terlalu lama memerintah, namun pengunduran Tan Sri Taib Mahmud adalah sangat perlu untuk perubahan," katanya lagi.

 

ADS