Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rekabentuk Masjid Kg Baru percuma, kata firma adik PM

Sebuah firma arkitek milik adik perdana menteri, Datuk Nazim Razak hari ini tampil dengan penjelasan bahawa perkhidmatannya menyediakan rekabentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela.

Penjelasan itu timbul susulan tuntutan sebuah NGO anak muda yang menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerangkan isu berhubung pembabitan firma NRY Architects dalam projek naik taraf dengan nilai RM20 juta itu.

NONE Seorang arkitek di firma berkenaan, Muhd Syafeeq Subhi berkata NRY Architects dilantik oleh jawatankuasa masjid berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan rekabentuk bagi pembangunan semula masjid tersebut.

"Tiada sebarang konflik (kepentingan) kerana kami menyediakan perkhidmatan sukarela seperti yang diumumkan perdana menteri dan juga pengerusi masjid ketika majlis penyerahan cek," kata Muhd Syafeeq dalam satu penjelasan melalui e-mel kepada Malaysiakini.

Dalam majlis yang berlangsung pada awal Februari itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan.

Peruntukan bagi masjid itu akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, kata perdana menteri.

Mengulas lanjut, Muhd Syafeeq turut menjelaskan bahawa NRY Associates juga sebelum ini telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pembangunan semula masjid berkenaan sejak lapan tahun lalu.

NONE Perkhidmatan itu termasuk kerja-kerja yang disediakan bagi pembinaan pintu gerbang dan astaka di pintu masuk masjid berkenaan, katanya lagi.

"Baru-baru ini kami menyediakan perkhidmatan untuk menara (masjid). Semua perkhidmatan ini adalah (secara) sukarela dan dibuat (untuk) amal jariah, kami tidak mengenakan bayaran untuk perkhidmatan (berkenaan).

"Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman kami, jawatankuasa (masjid) bekerjasama dengan kami sekali lagi dan kami meneruskan untuk menyediakan perkhidmatan jariah kepada masjid itu," kata Muhd Syafeeq lagi.

Sebelum ini, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutus surat kepada Najib bagi meminta perdana menteri itu membuat penjelasan mengenai kaitan firma NRY Architects dengan projek naik taraf tersebut.

Salinan surat berkenaan, bertarikh 10 April, dimuatkan di laman blog pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin.

ADS