ULASAN | Komitmen BN dan peluang PN mencorak politik Melaka
PRN MELAKA | Sememangnya BN dan PN sudah mengakui mereka sudah mencapai persetujuan, persefahaman dan menjalin kerjasama demi mendepani PH di Melaka pada pertengahan bulan depan.
Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang – di sebalik kedudukannya yang tiada sebarang jawatan dalam PN – juga mengakui mereka menerima hakikat bahawa BN akan mengetuai 'perang' di negeri Hang Tuah itu.
Pembahagian kerusi juga nampaknya kekal seperti sejak awal perancangan BN. Ketua menteri sementara Melaka, Ab Rauf Yusoh, berjaya mengotakan janjinya untuk mengekalkan BN bertanding di 21 kerusi.
Ini bermakna PN khususnya PAS terpaksa menelan hakikat bahawa mereka – jika mahu kekal enggan bertembung dengan BN – hanya boleh bertanding di tujuh kerusi yang diberikan BN.
Daripada tujuh kerusi yang diberikan BN itu, sebahagiannya memang diketahui kubu kuat DAP iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Selain empat kerusi tersebut, Umno juga membuka ruang kepada PAS-PN untuk meletakkan calon di kerusi Paya Rumput, Bukit Katil dan Bemban. Kerusi berkenaan masing-masing disandang Amanah (Bukit Katil) dan Wawasan (Bemban).
Paya Rumput pula pada 2021 dimenangi oleh BN melalui Rais Yasin. Namun ia bukanlah semudah itu perkiraannya. Dalam PRN lalu Rais memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 629 undi saja.
Berdasarkan tujuh kerusi itu juga, hanya dua kerusi yang dilihat sesuai ditandingi PAS iaitu Paya Rumput dan Bukit Katil. Kecuali PAS dapat meyakinkan Wawasan untuk meletakkan calon di Bemban.
Calon kena sesuai dengan sasaran
Kerusi Bemban pula dimenangi Mohd Yadzil Yaakub dengan majoriti 328 undi. Dia merupakan bekas Pengerusi Bersatu Melaka yang kini bersikukuh dengan Hamzah Zainudin dan Wawasan mereka.
Cuma kali ini peluang PN mempertahankan kerusi itu Bemban dengan lebih meyakinkan adalah besar berdasarkan komposisi pecahan kaum pengundi di situ.
Pada masa sama, dapat difahami bahawa semangat berahi PAS untuk ‘berjihad’ akan menjadi lebih ketara apabila lawan yang mahu dikalahkan itu ialah wakil Amanah. Tambahan pula kerusi Kuala Ketil itu dimenang – dan dipertahankan – oleh bekas ketua menteri, Adly Zahari.
Adly sendiri bukanlah orang sembarangan dalam PAS suatu ketika dulu.
Dengan susunan yang ditetapkan Ab Rauf itu juga, agak mustahil untuk PAS meletakkan calon di kerusi-kerusi yang menjadi kubu kuat DAP walaupun langkah itu mungkin dapat dijadikan bukti kesungguhan parti tersebut mahu membenam DAP.
Lebih wajar kerusi-kerusi dimenangi DAP pada 2021 itu diserahkan kepada sekutu PAS seperti Gerakan dan MIPP kerana ia sesuai dengan sasaran pengundi majoriti bukan Melayu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/787f3240e5cb25df61925dc71ad95ff5.jpg)
Melainkan PAS memang bersungguh-sungnguh mahu membuktikan keupayaan mereka mengalahkan DAP yang selama ini diragui orang ramai. Itu cerita lain.
Mendepani cabaran pada 14 Nov nanti, BN dan PN perlu merangka strategi dan merangkul sinergi bagi menyatukan undi lantas memastikan kemenangan bergaya dicapai.
Melainkan wujud kesepakatan lain atau strategi yang mungkin membawa PAS bertanding di kerusi yang turut ditandingi BN. Namun di atas kertas, dengan kerjasama yang diuar-uarkan terjalin antara mereka, perkara itu diluar jangkaan sama sekali.
PN – yang kini dikuasai PAS – dijadualkan akan mengumumkan barisan calon mereka pada malam esok dalam satu acara yang akan berlangsung di Bukit Katil, Melaka.
Ya, Bukit Katil. Nampak, kan?
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/72de6fb8065b29d0b6daa6af29c374db.jpg)
Bagaiamanapun setakat laporan ini ditulis, BN juga sedang berdepan dengan ketidakpuasan hati MCA susulan kerusi yang diamanahkan kepada mereka.
Daripada 21 kerusi diumumkan BN, MCA hanya disediakan dua kerusi iaitu mempertahankan DUN Machap Jaya dan Kelebang.
Dalam perkembangan itu, Bersatu yang kini terpinggir dari PN turut mengesahkan penyertaan mereka dalam PRN kali ini, namun masih berahsia mengenai kerusi yang akan ditandingi.
Sumber dalaman parti itu membayangkan kepada Malaysiakini, mereka ada perancangan sendiri. Justeru Bersatu hanya akan akan membuat ketetapan selepas PN mengumumkan calon dan kerusi yang akan ditandingi mereka.
Sementara itu di sebalik strategi PH membiarkan tujuh kerusi yang tidak ditandingi, ia bukanlah isyarat bahawa ruang tersebut akan diberikan kepada Bersatu.
Bersama turut bersaing
Sumber dalaman satu daripada parti komponen PH memberitahu, tiada kerjasama rasmi diwujudkan antara mereka dan Bersatu.
"Kami sendiri tidak tahu kerusi mana akan ditandingi Bersatu, sama ada kerusi yang PH tidak bertanding atau mungkin juga berlaku pertindihan," katanya yang enggan namanya disiarkan.
Selain itu, kemungkinan yang turut menarik untuk ditunggu ialah pertembungan Bersatu dan parti serpihannya – Wawasan. Sudah tentu di sana sini ada dendam terperam yang belum dituntaskan.
Kerusi DUN Bemban, misalnya. Pada PRN lalu kerusi itu ditandingi – dan dimenangi – Mohd Yadzil sebagai calon Bersatu-PN. Kini dia sudah bersama Wawasan.
PH tidak menamakan sebarang calon untuk kerusi itu.
Jika Mohd Yadzil kekal menjadi taruhan PN di Bemban, Bersatu mempunyai peluang untuk meletakkan calonnya di situ. Namun ia bukanlah semudah itu juga. Selepas SPR memuktamadkan senarai calon Sabtu ini, diyakini kerusi Bemban bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurang nya tiga penjuru.
Selain PH, PN, BN dan Bersatu, kerusi tersebut turut diminati Bersama.
Selain Bemban, Bersama turut mengintai peluang dan mencuba nasib di 14 kerusi lain iaitu Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, dan Serkam.
Pertembungan secara rasmi belum bermula tetapi percaturan sedang giat disusun. Akhirnya penentuan terletak di tangan 687,697 pemilih berdaftar di Melaka pada 14 Nov ini.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/2b88ebe21466de6ede2138886c79f44a.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.