Johor Corporation (JCorp) menafikan dakwaan anak syarikatnya bertanggungjawab dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di Indonesia sepeerti mana laporan diterbitkan sebuah NGO Indonesia iaitu Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi).

Syarikat milik kerajaan Johor itu menegaskan pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.

Ibu pejabat Johor Corporation JCorp

"JCorp ingin menjelaskan bahawa pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.

"Melalui anak syarikat milik penuhnya, Kulim Berhad, JCorp telah melupuskan kepentingannya dalam syarikat-syarikat Indonesia pada 2007," kata JCorp dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, dapatan yang dikeluarkan Walhi baru-baru ini menyanggah kenyataan Putrajaya pada 16 Okt bahawa semakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi mendapati tiada syarikat perladangan Malaysia yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

Merujuk kepada laporan Walhi "Actor Mapping Analysis: Who Are Behind The Fires?", jurukempen hutan dan perladangan kumpulan itu, Umi Ma'rufah menggesa kerajaan Malaysia menyiasat situasi sebenar dan tidak hanya bergantung kepada dasar atas kertas atau deklarasi korporat semata-mata.

Bercakap dalam perbincangan meja bulat dalam talian dengan kumpulan alam sekitar Malaysia, dia berkata analisis Walhi telah mengenal pasti titik panas aktif dan kebakaran dalam kawasan konsesi yang mempunyai kaitan dengan beberapa syarikat induk Malaysia.

Kulim Berhad satu daripada syarikat yang didakwa dalam senarai Walhi.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk mendapatkan ulasan.

Kementerian Komunikasi kemudiannya merujuk Malaysiakini kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, yang turut dihubungi oleh Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan.

Selain itu turut dinamakan adalah SD Guthrie, yang turut menafikan anak syarikatnya menyebabkan sebarang kebakaran di Indonesia, sambil menyatakan dakwaan terhadap syarikat itu tidak disokong oleh bukti yang boleh dipercayai.

JCorp menjelaskan Kulim Berhad melupuskan kepentingannya pada 8 Ogos 2007 daripada PT Graha Cakra Mulia, PT Sumber Mahardhika Graha, PT Salonok Ladang Mas dan PT Harapan Hibrida Kalbar.

Tindakan sama dibuat pada 26 Sept 2007 bagi kepentingan dalam PT Trimurti Sumbertama, manakala pelupusan tersebut direkodkan dalam Laporan Tahunan JCorp 2008.

Selain itu katanya, pada 6 Julai 2023, Kulim Berhad melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya kepada PT Bakung Starch Lestari.

"JCorp tidak mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan dalam operasi syarikat-syarikat tersebut. Penerbitan dan penyebaran berterusan dakwaan ini mewujudkan tanggapan palsu bahawa JCorp memiliki, mengawal atau mengendalikan syarikat-syarikat berkenaan serta mempunyai kaitan dengan insiden yang didakwa berlaku itu.

"Sebagai sebuah institusi milik kerajaan negeri, insinuasi yang tidak berasas ini menjejaskan reputasi JCorp dan kerajaan negeri Johor dengan serius," katanya lagi.