Pengutip hutang PTPTN jangan jadi ah long
PARLIMEN | Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengingatkan agensi perunding hutang lantikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya berunding dengan peminjam dan tidak bertindak seperti ah long.
Dia meminta sebarang tindakan sedemikian dilaporkan kepadanya supaya tindakan segera dapat diambil.
“Apabila kita kita melantik apa pemungut-pemungut atau agensi perunding hutang ini, kita juga memastikan supaya perkara-perkara yang dilakukan ini dia tidak bertindak sebagai ahlong.
“Sebab tu kalau apabila ada laporan-laporan yang berkaitan tindakan-tindakan ala ahlong itu, maka kita akan mengambil tindakan pantas,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.
Menurut Zambry, penggunaan khidmat agensi itu sebelum ini hanya melibatkan peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman selama lebih 10 tahun.
Dia menegaskan pihaknya memberi perhatian terhadap kaedah kutipan hutang kerana tidak mahu menzalimi peminjam.
Katanya, agensi terbabit perlu memahami keadaan ekonomi peminjam dan berunding mengenai bayaran balik berdasarkan kemampuan mereka.
“Kita sering kali buka ruang kepada mereka (peminjam) supaya datang berbincang, kita tahu tentang keadaan mereka, keadaan ekonomi mereka.
“Jadi, itu adalah pendekatan kita dalam PTPTN kerana kita tahu kita bukan hendak menzalimi mereka,” katanya.
Sebagai latar, portal rasmi PTPTN menyatakan penggunaan khidmat Agensi Perunding Hutang (APH) mengutamakan akaun yang mempunyai tunggakan melebihi 120 bulan dan/atau yang telah direkodkan penghakiman mahkamah.
Belanjawan 2027 membolehkan peminjam PTPTN berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan menangguhkan bayaran balik, tertakluk kepada semakan silang dengan LHDNM.
Peminjam berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000 perlu membayar minimum RM50 sebulan, manakala peminjam aktif tanpa tunggakan yang membayar secara konsisten sepanjang 2027 layak menerima diskaun 10 peratus.
Majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN pekerja pula mendapat potongan cukai bagi tempoh Januari 2027 hingga Disember 2028.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/8419bedca988a37c1cac5900d276477d.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.