Gagal serah RM230.9 juta, kerajaan heret MyEG, Zetrix AI ke mahkamah
PARLIMEN l Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang, termasuk saman sivil, terhadap MyEG dan Zetrix AI Berhad berhubung kegagalan melangsaikan tunggakan kutipan hasil kerajaan serta penalti dalam tempoh ditetapkan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Loke berkata wang kutipan hasil kerajaan tidak boleh digunakan sebagai dana operasi syarikat, manakala kelewatan menyerahkan wang berkenaan merupakan pelanggaran serius terhadap terma perjanjian.
"Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman sivil terhadap pihak syarikat (berkenaan)," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat.
/file/attachments/orphans/9_701459.png)
Isu itu berkait dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta, selain tunggakan bayaran sebanyak RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebelum ini, Zetrix memaklumkan Bursa Malaysia Securities bahawa operasinya tidak terjejas oleh siasatan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
Bagi mengelakkan ketirisan hasil kerajaan berulang, Loke berkata Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang menambah baik sistem digital, termasuk portal MySIKAP dan aplikasi MyJPJ, bagi mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga.
Katanya, cadangan mekanisme menggunakan akaun terimaan kecil Perbendaharaan sedang dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara bagi memastikan kutipan disalurkan terus ke akaun kerajaan tanpa melalui akaun pihak ketiga.
/file/attachments/orphans/435534345435_753852.png)
Selain itu, modul akaun belum terima dalam sistem pengurusan hasil kerajaan akan diperketatkan bagi menghentikan transaksi secara automatik sekiranya ejen pemungut gagal memindahkan hasil dalam tempoh 10 hari.
"Cadangan meletakkan syarat wajib jaminan daripada syarikat induk dikemukakan oleh mana-mana ejen pemungut bagi melindungi risiko ketirisan hasil kerajaan," katanya.
Loke berkata orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ melalui kaunter, portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ serta ejen lain yang dilantik.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/8_840327.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.