Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ibubapa sekumpulan pelajar yang terlibat dalam satu pergaduhan di SMK Taman Sri Muda pada Rabu lalu akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis dan juga pengurusan sekolah petang ini.

Seorang bapa kepada pelajar berkenaan, Stephen Perumal Velu berkata, perjumpaan pada jam 2.30 petang itu juga akan melibatkan Jabatan Pendidikan Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah dan wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Stephen berkata, beliau akan meminta pengetua sekolah menjelaskan tindakan pentadbiran sekolah memanggil pihak polis ketika pergaduhan itu berlaku.

"Memang kita tak puas hati dengan tindakan pengetua yang enggan beri penjelasan. Boleh bawa pegawai polis, boleh bawa pegawai pelajaran tapi jangan tahan pelajar yang tak terlibat.

"Kalau (pelajar dibawa ke balai polis), jadi gangguan kepada anak-anak kita. Budak ini takut nak pergi ke sekolah, ini terjadi kepada anak saya sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Tambahnya, para ibu bapa yang terlibat juga tidak berniat untuk membesar-besarkan isu berkenaan.

"Kita bukan hendak besarkan masalah dan kita bukan bawa isu perkauman.

"Kita hendak jaga semua anak bangsa, pergaduhan ini berlaku antara saudara mara kita juga sebab kita dalam konsep 1Malaysia ini kita bersaudara mara," katanya lagi .

Terdahulu, sekumpulan lebih 20 orang ibubapa pelajar terbabit mengadakan perhimpunan di hadapan sekolah berkenaan yang terletak di Seksyen 25, Shah Alam.

Perhimpunan yang bermula pada kira-kira jam 12.45 tengahari itu bagaimanapu dileraikan oleh ketua MIC bahagian Kota Raja, RS Maniam tidak lama selepas itu.

Stephen berkata, Maniam telah memberi jaminan kepada ibubapa berkenaan untuk mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah tersebut hari ini.

VIDEO | 6.41 min

[Berita penuh menyusul]

ADS